PETALING JAYA – Keluarga Allahyarham Noorizwan Zulkefly yang dilaporkan meninggal dunia dalam tahanan polis menafikan dakwaan bahawa tiga peguam mereka memberi tekanan kepada seorang doktor pakar forensik ketika satu pertemuan sebelum ini.
Adik Allahyarham, Nooranis Zulkefly, 34, berkata, dia sendiri berada dalam pertemuan berkenaan bersama isterinya, tiga peguam keluarga serta dua anggota polis dari Bukit Aman.
Menurutnya, sepanjang pertemuan itu, doktor pakar forensik terbabit menunjukkan serta memberikan penerangan mengenai gambar-gambar bedah siasat Allahyarham secara sukarela.
“Tiada sebarang unsur paksaan, ugutan atau tekanan yang saya saksikan daripada peguam keluarga terhadap doktor tersebut.
“Malah, pertemuan itu berlangsung dalam suasana yang baik dan profesional. Selepas sesi penerangan selesai, kami turut bersalaman dengan doktor berkenaan serta mengambil gambar bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar semalam bahawa tiga peguam keluarga Noorizwan masih disiasat berhubung aduan intimidasi dan menghalang penjawat awam melibatkan seorang doktor pakar forensik.
Nooranis turut mempersoalkan asas dakwaan bahawa peguam keluarga memberikan tekanan terhadap doktor terbabit memandangkan terdapat beberapa individu lain yang menyaksikan pertemuan berkenaan.
“Kami amat kesal apabila dakwaan sedemikian dibuat kepada umum sedangkan terdapat beberapa individu, termasuk dua anggota polis dari Bukit Aman, yang turut hadir dalam pertemuan tersebut.
“Kami juga mendesak supaya sebarang gangguan yang tidak wajar terhadap peguam keluarga dihentikan serta-merta,” katanya.
Menurut Nooranis, pihak keluarga tidak mahu perhatian terhadap kes kematian Allahyarham dialihkan kepada dakwaan terhadap barisan peguam yang sedang membantu mereka mendapatkan keadilan.
Katanya, peguam berkenaan mempunyai tanggungjawab profesional untuk mewakili keluarga selain memastikan segala bukti berkaitan kematian Allahyarham diteliti mengikut proses undang-undang.
“Kami mahu pihak berkuasa memberikan tumpuan sepenuhnya kepada siasatan kematian Allahyarham Noorizwan, memastikan semua bukti dinilai secara telus dan membawa mana-mana individu yang mempunyai bukti mencukupi terhadap mereka ke muka pengadilan.
“Keluarga kami tidak akan berhenti menuntut kebenaran dan keadilan,” katanya.
Terdahulu, kes kematian Noorizwan mendapat perhatian selepas Allahyarham dilaporkan meninggal dunia ketika berada dalam tahanan polis sehingga keluarganya menuntut penjelasan serta siasatan telus berhubung punca kematiannya.
Dalam perkembangan berkaitan, polis memaklumkan tiga peguam yang mewakili keluarga Allahyarham masih disiasat susulan laporan membabitkan dakwaan intimidasi dan menghalang penjawat awam terhadap seorang doktor pakar forensik. – KOSMO! ONLINE















