TELUK INTAN – Seorang lelaki warga asing maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah lori di Batu 12, Jalan Teluk Intan-Bidor, Langkap di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat mengenai kejadian itu diterima pada pukul 11.41 pagi.
Katanya, kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori Nissan UD dan motosikal jenis Honda Wave Alpha.
“Lori berkenaan dipercayai terbabas sebelum melanggar motosikal yang ditunggang mangsa sehingga menyebabkan lelaki berusia 40-an itu tersepit di bahagian bawah lori.
“Anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dengan menggali tanah di sekelilingnya menggunakan peralatan menggali tangan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE
















