PETALING JAYA – Pihak yang terlibat dalam kegiatan penyembelihan ayam meragukan perlu dikenakan hukuman sebat kerana boleh dianggap sebagai pengkhianat kepada kepercayaan umat Islam untuk mendapatkan bekalan halal.
Desakan itu berasas kerana hukuman penjara atau denda semata-mata dilihat kurang memberi kesan sekiranya pesalah mampu membayar jumlah yang dikenakan.
Pendakwah bebas, Ustaz Syed Mohd. Bakri Syed Ishak atau lebih dikenali sebagai PU Syed berkata, dia bersetuju hukuman sebat dikenakan bagi memberi pengajaran kepada pesalah dan masyarakat.
Katanya, penyembelihan meragukan status halal bukan sekadar isu perniagaan atau pelanggaran operasi, sebaliknya melibatkan amanah agama, keselamatan pengguna dan integriti pensijilan halal.
“Halal merangkumi keseluruhan proses pengendalian ayam hingga ke pengedaran. Sikap mengambil mudah hukum halal tidak boleh dikompromi.
“Daripada penternak, rumah sembelihan, pemproses, pemborong hingga ke peruncit. Kelemahan pengesanan pada mana-mana peringkat boleh membuka ruang kepada penyelewengan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Sebelum ini media melaporkan, sebuah gudang di Puchong diserbu selepas didapati mengedarkan ayam yang diragui status halalnya.
Ayam berkenaan diproses menggunakan kaedah renjatan air berarus elektrik yang menyebabkan haiwan itu mati terlebih dahulu sebelum disembelih.
Menurut PU Syed, ada pihak anggap isu halal hanya berkaitan kebersihan dan kualiti makanan, sedangkan persoalan sama ada haiwan itu disembelih mengikut hukum syarak sangat penting.
Tambahnya, pihak yang mendapat keuntungan termasuk pemilik premis, pengarah syarikat dan pengedar yang mengetahui serta bersubahat dengan kegiatan tersebut juga perlu disiasat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia, Nur Asyikin Aminuddin berkata, hukuman lebih berat dan setimpal seperti penjara mandatori dan sebat perlu bagi melindungi hak pengguna dan menjaga integriti sistem pensijilan halal negara.
Katanya, hukuman berat tidak memadai sekiranya penguatkuasaan undang-undang masih lemah.
“Penguatkuasaan perlu diperkukuh menerusi pemeriksaan dan pemantauan berkala tanpa perlu menunggu aduan. Tindakan itu penting untuk mencegah penipuan melindungi hak pengguna serta mengekalkan keyakinan masyarakat,” katanya.
Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemeriksaan di pusat penyembelihan ayam akan dipertingkatkan selepas kegiatan itu terbongkar dalam operasi baru-baru ini.
“Pemantauan bersepadu bersama pihak berkuasa lain akan dilakukan bagi memastikan setiap premis mematuhi prosedur penyembelihan halal.
“Saya juga minta orang ramai membuat aduan sekiranya mengesyaki ada pusat penyembelihan menjalankan operasi tidak mengikut piawaian halal,” katanya.
Amirudin turut menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pengusaha atau pihak bertanggungjawab yang didapati melanggar undang-undang.
















