fbpx
SAIFUDDIN ketika berucap pada Majlis Pengiktirafan Kompetensi Maritim dan Pemerkasaan Syarikat Tempatan di bawah ICP di Terminal Feri Kuala Kedah, Alor Setar hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN

PDRM, pihak berkuasa Pakistan bincang kes rakyat ditahan kerana scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa Pakistan berhubung penahanan kira-kira 130 rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan atau scam di negara itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya di Pakistan kira-kira dua minggu lalu yang memaklumkan mengenai penahanan itu.

Kata beliau, pihaknya kemudian meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengadakan pertemuan dengan jabatan berkaitan di Pakistan bagi membincangkan langkah menguruskan isu berkenaan.

“Perbincangan sudah pun berjalan. Saya akan menerima laporan berhubung perkara itu untuk menentukan hala tuju tindakan seterusnya. Itu sahaja yang boleh saya kongsikan,” katanya pada Majlis Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada Pemandu Teksi, Kereta Sewa dan Bas Sekolah di Kedah di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, operasi polis Kedah di Kulim Hi-Tech, baru-baru ini turut membawa kepada penahanan 33 warga Pakistan yang disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan.

Akhbar sebelum ini melaporkan seramai 130 rakyat Malaysia yang ditahan di Pakistan selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan siber berkemungkinan perlu menjalani proses perundangan di negara berkenaan.

Bagaimanapun, status sama ada mereka merupakan mangsa eksploitasi atau terlibat secara langsung dalam kegiatan penipuan siber itu masih belum dipastikan memandangkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa Pakistan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail berkata, pasukan PDRM berkemungkinan dihantar ke negara berkenaan bagi mendapatkan maklumat lebih jelas.

Terdahulu, media Pakistan melaporkan Agensi Siasatan Jenayah Siber Kebangsaan (NCCIA) menyerbu sebuah pusat panggilan di KASA Tower, Rawalpindi yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan siber terhadap rakyat Malaysia.

Menurut portal ProPakistani, sindiket itu dipercayai menyamar sebagai pegawai khidmat pelanggan bank sebelum menyambungkan panggilan kepada individu lain yang menyamar sebagai polis Malaysia. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN