SHAH ALAM – Pemeriksaan ke atas semua pusat penyembelihan ayam di Selangor perlu dipertingkatkan bagi memastikan pengusaha mematuhi piawaian halal dan tidak mengundang keraguan pengguna.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah tersebut susulan pembongkaran sebuah pusat penyembelihan ayam tanpa sijil halal di Puchong, baru-baru ini.
Menurutnya, pemantauan perlu dilakukan secara bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jabatan agama Islam negeri dan agensi penguat kuasa bagi memastikan setiap premis mematuhi prosedur penyembelihan halal.
“Pihak pengeluar sijil (Jakim dan jabatan agama Islam negeri) dan pihak berkuasa untuk buat pemantauan berkala ke atas pusat ini supaya pusat ini ikut piawaian yang ditetapkan dua jabatan ini.
“Saya juga minta orang ramai membuat aduan sekiranya mengesyaki ada pusat penyembelihan menjalankan operasi tidak mengikut piawaian halal,” katanya selepas program pemberian makanan nutrisi Nutrisi Selangor (Nutrisel) di Sekolah Rendah Agama Islam (SRAI) Seksyen 19, di sini, hari ini.
Amirudin turut menggesa tindakan tegas dikenakan terhadap pengusaha yang didapati melanggar undang-undang.
Kosmo! kelmarin melaporkan seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan ditahan menerusi Op Taring Chiller dalam serbuan di sebuah gudang pemprosesan dan penyembelihan ayam di Puchong pada pukul 12.40 tengah malam. – KOSMO! ONLINE
















