fbpx
Anggota bomba dan pasukan Angkatan Pertahanan Awam menjalankan proses menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam nahas di Batu Pahat semalam.

Tragedi lori hempap MPV: ‘Dengar sayup suara minta tolong, panas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Tolong, panas,” rayuan sayup seorang ibu yang terperangkap dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) selepas kenderaan dinaiki keluarganya dihempap lori membawa muatan pasir di Jalan Yong Peng-Muar, dekat Parit Yaani, tengah hari semalam.

Detik menyayat hati itu dikongsikan seorang saksi menggunakan akaun Threads @syahmisukatukang turut membantu mengeluarkan mangsa nahas yang meragut nyawa pasangan suami isteri berkenaan.

Menurut saksi itu, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terdengar suara kanak-kanak menangis sebelum mendengar suara wanita meminta pertolongan ketika menghampiri MPV berkenaan.

Katanya, keadaan ketika itu cukup kelam-kabut apabila orang ramai cuba mencari peralatan seperti mesin pengisar besi (grinder) bagi membantu mengeluarkan mangsa yang masih terperangkap.

“Sampai-sampai je dengar budak melalak dari jauh. Bila datang dekat dengar sayup maknya sebut ‘tolong, panas’. Memang kelam-kabut cari cara nak keluarkan budak-budak itu sebab masih dengar suara.

“Tempat duduk depan memang tersepit, tak nampak apa. Tempat duduk belakang ada dua budak, dah melecur dan kena tindih dengan barang-barang belanja dapur,” katanya.

Bercerita lanjut, saksi itu berkata, mangsa terdedah kepada bahan tar panas yang menimpa kenderaan berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan melecur.

Menurutnya, dia sendiri mengalami kesan melecur pada tangan meskipun hanya terkena sedikit bahan berkenaan ketika cuba membantu mengeluarkan barang dari bahagian bonet belakang.

“Paling sayup bila dah dapat alihkan kereta, tapi sejam dah berlalu. Suara pun dah tak dengar.

“Mangsa dah melecur berlumuran dengan tar. Tangan aku tadi terkena sikit masa nak tolong kopak kereta pun dah melecur. Inikan pula yang bawah lori itu,” katanya.

Bagaimanapun, saksi itu turut melahirkan rasa bangga melihat semangat kebersamaan orang ramai yang tampil membantu pasukan penyelamat serta pihak berkuasa di lokasi kejadian.

“Tak berkira nak tolong penjawat awam jalankan tugas. Masing-masing main peranan. Semua keluarkan jentera yang ada. Memang sayup sedih terharu. Nangis teringat kat anak isteri,” luahnya.

Dalam pada itu, seorang pengguna Threads @rawisme.thrift yang mengakui sebagai ahli keluarga kepada pasangan berkenaan merakamkan penghargaan kepada semua pihak dalam mendoakan kesemua mangsa serta membantu ketika kejadian.

Katanya, keluarga akan berbincang mengenai urusan kebajikan anak-anak mangsa selepas selesai majlis pengebumian.

“Insya-Allah kami akan pastikan anak-anak arwah akan terbela. Sekarang masih dirawat di hospital BP (Batu Pahat),” katanya.

Terdahulu, Mohd Hardi Mohd Husin, 46, dan isterinya, Tengku Syafirana Tengku Abdullah, 44, maut selepas MPV dinaiki mereka dihempap lori membawa muatan pasir yang terbabas dipercayai akibat tayar pecah.

Dua anak pasangan itu, Muhammad Adam, 8, dan Hasya Fahira Zulkifli, 11, terselamat namun mengalami kecederaan di kepala serta luka dan melecur pada kaki.

Kedua-dua beradik itu turut dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi memberikan penghormatan terakhir kepada ibu bapa mereka sebelum jenazah pasangan berkenaan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Parit Maimon, Parit Sulong, malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN