APABILA penyanyi terkenal Misha Omar mengumumkan dia bakal beraksi dalam sebuah showcase yang diberi nama Misha Omar Aku & Lelaki, timbul persoalan dalam benak fikiran apa yang mahu ditonjolkan wanita ini kali ini.
Tidak berlebihan jika dikatakan bahawa idea ini adalah idea berani mati. Ini kerana Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Asiah Omar, 44, mempunyai repertoire sendiri yang bukan calang-calang hebatnya.
Namun, Misha punya pendirian tersendiri dan dia tahu apa yang dilakukannya.
Menurut Misha, dia mahu memberi penghargaan kepada insan yang bergelar lelaki kerana sepanjang 24 tahun perjalanan kariernya sebagai anak seni, dia dikelilingi dan banyak bekerjasama dengan kaum Adam.
Malah dalam keluarganya sendiri, Misha satu-satunya bunga dan ratu kerana dua anaknya adalah lelaki. Jadi hari-harinya juga dilalui dengan para lelaki.
Ini bukan kali pertama Misha beraksi di JioSpace. Dua tahun lalu dia pernah mengadakan persembahan di lokasi yang sama. Mungkin dia sudah selesa beraksi di situ.
Terbukti pada malam itu, Misha kelihatan sangat selesa mengalunkan hampir 20 buah lagu dengan jayanya.

Dia ‘diva’
Tepat pukul 8.30 malam, Misha muncul di pentas dengan gaya yang memukau. Busana berwarna hitam, solekan tajam di bahagian mata, rambut disisir rapi. Dia sememangnya seorang diva.
Lagu Tak Ku Duga menjadi pembuka tirai showcase. Lagu yang pada asalnya merupakan duet Misha bersama Saiful Malaysian Idol itu dibawakan dengan penuh bersahaja.
Persembahan pembukaan diteruskan dengan lagu Kacamata dendangan asal penyanyi seberang Afghan dan diakhiri dengan lagu Januari sebelum dia menyapa penonton dengan ucapan aluan.
“Terima kasih membelanjakan sebahagian daripada wang anda untuk menonton persembahan saya walaupun pada masa yang sama ada konsert percuma sedang berlangsung,” katanya.
Seterusnya Misha mendedikasikan persembahannya buat penyanyi yang dikaguminya iaitu Anuar Zain dengan menyampaikan dua buah lagu iaitu Lelaki Ini dan Keabadian Cinta.

Berangan
Sempat dia berseloroh satu masa lalu dia pernah berangan untuk menjadi isteri penyanyi itu sama seperti wanita-wanita lain.
Baginya, Anuar adalah penyanyi senior yang membuatkan artis baharu sepertinya ketika itu berasa diterima dalam industri muzik tanah air.
Namun persembahan yang paling menambat hati penulis adalah ketika Misha menyanyikan lagu Datuk Jamal Abdillah (Penghujung Rindu), Datuk Sudirman Hj Arshad (Merisik Khabar) dan Hafiz Suip (Bahagiamu Deritaku)
Bagi penulis ketiga-tiga persembahan ini begitu cemerlang dan selayaknya diberikan pujian.
Gemersik suara Misha ditambah dengan penghayatan yang mendalam, bait-bait lirik yang dilontarkannya meresap ke dalam sanubari.
Balada sememangnya makanannya. Namun untuk menyanyikan lagu penyanyi lelaki terutamanya lagu Datuk Jamal Abdillah, bukannya sesuatu yang mudah. Tetapi Misha berjaya melunaskannya dengan cara tersendiri.
Sepekara tentang Misha, orangnya sangat ‘cheeky’. Cara dia berinteraksi dengan penonton sentiasa mencuit hati. Dia selesa menjadi diri sendiri. Terkadang ramai yang terlupa, cara kita berinteraksi juga merupakan jiwa dalam sesuatu persembahan.
Tidak lengkap rasanya jika Misha tidak mendendangkan lagu-lagunya sendiri. Selain lagu-lagu popular seperti Semoga Abadi, Bunga Bunga Cinta, Break dan I Don’t Love Your Anymore, Misha mengajak semula para peminatnya mengimbau semula kenangan saat album pertamanya dilancarkan.
Memilih untuk menyanyikannya lagu yang jarang didendang seperti Kau Yang Amat Ku Sayang, Misha membuka semula kotak kenangan lama terutamanya buat peminat setianya bahawa lagu ini juga pernah menjadi peneman malam satu masa dahulu.

Gelagat Idris mencuit hati
Seperti sudah selesa bersama, kali ini Misha sekali lagi mengundang anak lelakinya, Idris untuk membuat persembahan.
Sebelum muncul di atas pentas, Misha sempat berseloroh, penyanyi undangan yang dipilihnya merupakan satu-satunya penyanyi yang dia mampu untuk bayar.
Seperti biasa, telatah Idris sentiasa mencuit hati. Dia memang dilahirkan untuk menjadi seorang penghibur sama seperti ibunya. Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Anak beranak ini bergandingan menyampaikan lagu Risk It All dendangan asal Bruno Mars.
Menyedari mungkin ada penonton yang lenguh kerana duduk terlalu lama, Misha turut mengajak peminat berdansa bersamanya menerusi lagu Teh Hijau dendangan asal penyanyi seberang, Tulus.
Sudah namanya Misha Omar, memang tidak sah kalau tidak turun dari pentas untuk menyapa peminatnya lebih dekat demi memberi penghargaan terutamanya buat pembeli tiket yang berdiri di bahagian belakang.
Tuntasnya, persembahan tersebut berjaya memaparkan sisi Misha yang lebih matang seiring usia dan statusnya sebagai penyanyi kelas A di Malaysia.
Showcase Aku & Lelaki berjaya membuktikan bahawa tidak semua persembahan yang baik harus dilakukan di lokasi berskala besar. Intim terkadang lebih berisi dan diingati.
Khabarnya Showcase Aku & Wanita pula bakal menyusul. Agaknya lagu penyanyi mana yang akan dinyanyikan
















