fbpx
PERMAINAN squishy dikhuatiri tidak selamat untuk anak-anak. - GAMBAR HIASAN

Hati-hati beri anak main squishy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ini mainan squishy yang boleh berubah bentuk apabila dipicit dan dalam beberapa saat ia kembali mengembang seperti asal telah menjadi satu trend.

Malah, mainan lembut ini banyak dijual di pasaran dan hadir dalam pelbagai bentuk comel seperti roti, buah-buahan dan haiwan ini semakin menjadi kegemaran kanak-kanak.

Namun, di sebalik warna yang menarik dan kelembutannya, pernahkah ibu bapa terfikir apakah sebenarnya bahan yang digunakan untuk menghasilkan squishy dan adakah ia selamat untuk anak-anak?

Penyelaras di Bahagian Kimia, Pusat Asasi Sains Universiti Malaya, Dr. Syazreen Nadia Sulaiman berkata, kebanyakan squishy dihasilkan daripada bahan asas seperti busa lembut, silikon atau plastik khas yang membolehkan produk berubah bentuk apabila ditekan.

Menurutnya, dalam proses pembuatannya, pelbagai bahan tambahan digunakan untuk menghasilkan warna yang menarik, kelembutan dan ketahanan yang diinginkan.

“Walaupun bahan-bahan ini digunakan secara meluas dalam pelbagai produk harian, sesetengah bahan kimia boleh tertinggal dalam mainan atau terbebas semasa penggunaannya.

“Pendedahan kepada bahan kimia dalam mainan squishy boleh berlaku menerusi tiga laluan utama, pertama penyedutan di mana bahan kimia tertentu meruap ke udara lalu dihidu oleh kanak-kanak semasa bermain.

“Kedua laluan oral di mana kanak-kanak menggigit, menghisap atau memasukkan mainan squishy ke dalam mulut dan ketiga kebocoran fizikal di mana mainan yang koyak atau bocor menyebabkan gel, cecair, atau bahan pengisi di dalamnya terkeluar dan bersentuhan dengan pengguna,” katanya.

Tambahnya, keadaan ini memerlukan perhatian khusus daripada ibu bapa kerana kanak-kanak kecil mempunyai tingkah laku semula jadi yang cenderung meneroka sesuatu objek menggunakan mulut, sekali gus meningkatkan risiko pendedahan bahan kimia.

Penyelidik daripada Waste-to-Wealth Research Group, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Sabah, Dr. Shelly Gapil berkata, kebimbangan mengenai risiko kimia ini bukannya sekadar andaian kerana pada 15 September lalu, pihak berkuasa keselamatan produk United Kingdom melaporkan beberapa mainan squishy tiruan, termasuk yang berbentuk roti kukus mempunyai risiko kimia yang tinggi.

“Ujian ke atas produk tertentu mengesan bahan kimia meruap seperti xilena dan stirena yang boleh memberikan kesan kepada kesihatan apabila dihidu pada kepekatan tertentu.

“Walau bagaimanapun, kehadiran sesuatu bahan kimia tidak semestinya bermakna setiap mainan squishy berbahaya,” ujarnya.

Tambahnya, risiko sebenar bergantung pada jumlah bahan yang terbebas, cara pendedahan berlaku dan tempoh pendedahan dan penilaian keselamatan tidak boleh dibuat berdasarkan rupa atau bau mainan semata-mata.

Selain bahan yang boleh meruap, bahan pelembut plastik yang dikenali sebagai ftalat (phthalates) turut mendapat perhatian serius.

Sesetengah jenis ftalat boleh berpindah keluar daripada plastik dan berpotensi memasuki tubuh apabila mainan dimasukkan ke dalam mulut. Pendedahan kepada jenis ftalat tertentu pada tahap yang membimbangkan dikaitkan dengan kesan negatif terhadap perkembangan kanak-kanak serta gangguan kepada sistem hormon. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN