Sebahagian pengunjung yang menziarahi pusara Tun Dr. Hasmah di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya baru-baru ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA

13 hari, 21,000 orang ziarah pusara Tun Hasmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Ada yang sanggup merentas negeri, malah ada yang datang hampir setiap hari semata-mata untuk membaca al-Fatihah dan mendoakan Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali.

Sepanjang 13 hari pertama selepas pengebumian, kira-kira 21,000 orang dianggarkan mengunjungi pusara isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu di Pusara Negara, Taman Selatan, Presint 20, di sini.

Penyelia Unit Perkuburan Perbadanan Putrajaya (PPj), Mohd Ferdaus Bahili berkata, keha­diran orang ramai daripada pelbagai kaum dan agama me­rupakan perkara paling ketara sepanjang dua minggu beliau dan pasukannya menguruskan kawasan pusara Allahyarham.

Menurutnya, kehadiran pe­ngunjung bermula seawal pukul 6.45 pagi hingga 10 malam pada hari-hari awal selepas pengebumian, dengan kira-kira 3,000 orang hadir pada hari pertama, diikuti sekitar 2,700 orang sehari bagi tempoh enam hari berikutnya.

“Jumlah itu kemudian berkurangan kepada anggaran 500 orang sehari sehingga hari ke-13, menjadikan keseluruhan kunjungan dianggarkan mence­cah 21,000 orang,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Bercerita lanjut Mohd. Ferdaus berkata, terdapat pengunjung dari utara, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak, malah luar negara termasuk Jepun dan kawasan tanah Arab, yang sanggup datang khusus untuk menziarahi pusara Allahyarhamah.

“Berdasarkan pemerhatian kami, ada pengunjung yang datang lebih daripada dua kali, malah ada yang hampir setiap hari sejak hari pengebumian.

“Keba­nyakannya penduduk Putrajaya, khususnya wanita, yang datang untuk membaca al-Fatihah dan mendoakan Allahyarham sebagai tanda kasih serta penghargaan,” katanya.

Mohd. Ferdaus berkata, ada pengunjung yang sebak dan menitiskan air mata ketika berdoa di sisi pusara, terutama apabila Tun Dr. Mahathir turut hadir menziarahi isterinya.

Beliau yang sudah 18 tahun berkhidmat dengan PPj menganggap kehadiran luar biasa itu sebagai pengalaman yang jarang berlaku sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Mohd. Ali Jusoh berkata, pihaknya menyelaras kawalan pergerakan pengunjung, lalu lintas, parkir, laluan keluar masuk serta keselamatan bagi memastikan urusan ziarah berjalan lancar.

Beliau berkata, pusara Allahyarhamah dibuka kepada orang ramai setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 7 malam, manakala enam kakitangan Unit Perkuburan PPj melaksanakan kerja pembersihan dan pengemasan secara berkala sekitar pukul 7 pagi dan 9 malam.

“Pihak PPj melaksanakan penyelarasan operasi secara khusus mengikut keperluan dan situasi semasa apabila sesuatu pusara menerima kunjungan orang ramai secara luar biasa, khususnya melibatkan tokoh negara.

“Selain itu, aspek kebersihan dan penyelenggaraan kawasan perkuburan turut diberi perhatian bagi memastikan urusan ziarah berjalan lancar, teratur dan selamat. Rondaan keselamatan turut dijalankan bagi memastikan kawasan pusara kekal bersih, terpelihara dan terkawal,” katanya.

Allahyarham Tun Dr. Hasmah meninggal dunia pada 28 September lalu di Institut ­Jantung Negara, Kuala Lumpur pada usia 100 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 mengikut taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN