RAMAI pemancing datang secara berkumpulan memburu udang harimau di ZJ Kolam Pancing Udang, Pelabuhan Klang, Selangor.

‘Healing’ di kolam pancing semakin popular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

HOBI memancing bukan sahaja menguji kesabaran diri, malah memerlukan pemancing untuk kekal fokus sepanjang masa.

Aktiviti memancing juga memerlukan kaki pancing pergi ke lokasi-lokasi yang jauh dari tempat tinggal mereka untuk memburu ikan idaman.

Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai pemancing mula berjinak-jinak dengan aktiviti memancing di kolam pancing yang diusahakan oleh syarikat atau individu.

Menurut pengusaha ZJ Kolam Pancing Udang, Zulkanain Johari, 54, aktiviti memancing udang harimau yang diusahakannya semakin mendapat sambutan kerana ia dianggap aktiviti ‘healing’ atau merawat keresahan fikiran paling popular ketika ini.

“Dulu, saya juga peminat tegar memancing sungai dan laut di seluruh Malaysia. Berbagai lubuk saya sudah pergi mencari ikan.

“Sememangnya, jika mahukan cabaran, memancing di laut dalam merupakan jawapannya.

“Jika hendak healing, inilah tempatnya,” katanya ketika ditemu bual K-Variasi di premis perniagaannya di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Zulkanain berkata, pengunjung tidak mengira individu, pasangan dan keluarga akan datang ke premisnya untuk memburu udang harimau.

“Kita di sini turut menyediakan kemudahan untuk makan dan minum kepada pemancing. Maklumlah, memancing memerlukan tenaga dan tumpuan.

“Di sini, kita menyediakan pakej khas untuk wanita, pasangan mahupun keluarga.

“Bagi individu, bayaran RM15 sejam dikenakan dan udang yang dipancing boleh dibawa pulang,” katanya.

Jelasnya lagi, setiap joran yang disewa dikenakan caj RM3 dan umpan umpun-umpun laut satu bekas berharga RM5.

SAIZ udang harimau yang terdapat di kolam milik Zulkanain.

Katanya lagi, pihaknya komited untuk menyediakan kemudahan terbaik untuk pelanggan agar mereka datang dan balik dengan hati yang gembira.

“Kalau memancing di luar, pemancing perlu sediakan semua daripada joran, umpan dan bekalan makanan.

“Di sini, kapasiti pemancing adalah 60 orang. Semua kemudahan kita sediakan dan mereka dapat memancing dengan tenang,” katanya.

Mengulas mengenai tarikan lain di premisnya, Zulkanain memberitahu, pada hari cuti am atau hujung minggu, pihaknya akan mengadakan pertandingan memancing udang harimau paling berat kuantitinya.

Malah, semasa cuti umum hari merdeka baru-baru ini, dia menyediakan hadiah wang tunai RM500 untuk pemenang yang mampu memancing udang harimau paling berat.

“Kami menyediakan hadiah wang tunai untuk pemenang tempat kedua, ketiga, keempat dan kelima.

“Kita juga memberi bonus RM5 kepada pemancing yang menangkap udang harimau yang ditanda atau ketam letakkan di dalam kolam,” ujarnya.

Zulkanain yang juga aktif dalam sukan olahraga berkata, aktiviti healing seperti memancing juga mampu menghilangkan tekanan seperti bersukan di balapan.

Ujarnya lagi, memancing boleh menjadi aktiviti menguntungkan, di mana pemancing yang mempunyai kemahiran bukan sahaja dapat membawa balik udang harimau pulang, malah mampu memperoleh wang tunai lumayan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN