MUSCAT – Seorang pempengaruh media sosial dari Ukraine membuat permohonan maaf selepas satu klip video tular memaparkan dirinya bersahaja duduk di atas seekor penyu dan memegang anak haiwan itu di Oman, lapor akhbar Metro UK.
Kejadian berlaku di kawasan Ras Al Jinz, salah satu tapak penetasan penyu yang terkenal di Oman.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan jurulatih kecergasan bernama Vadym Oleynik menghampiri seekor induk yang sedang merangkak sebelum duduk di atas cangkerangnya.
Meskipun tergelincir ke tanah disebabkan penyu berkenaan bergerak, Oleynik tetap berdiri dan duduk semula di atas cangkerangnya sambil ketawa.
Dia turut memegang seekor anak penyu yang mengibarkan sirip kecilnya, seolah-olah menuntut untuk dilepaskan.
Tindakan tersebut menerima kecaman orang ramai selepas diketengahkan oleh projek pemuliharaan Itali, Biologicamente. – AGENSI
















