fbpx
ANTARA aksi mendebarkan ketika Speedy Tigers menewaskan Pakistan 5-4 dalam saingan Kumpulan B Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, sebentar tadi. - Gambar ASIAN HOCKEY FEDERATION

Sukan Asia: Speedy Tigers sah ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Skuad hoki lelaki negara, Speedy Tigers mengesahkan tiket ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 selepas mempamerkan kebangkitan mendebarkan untuk menewaskan Pakistan 5-4 dalam aksi Kumpulan B di Stadium Green Wilayah Gifu, hari ini.

Malaysia yang dibimbing Brendon Carolan dikejutkan seawal minit ketiga menerusi jaringan Sufyan Khan, namun hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan hasil penyudah Shello Silverius.

Speedy Tigers kemudian berada di depan buat kali pertama apabila Faizal Saari meledak pukulan sudut penalti pada minit ke-23 untuk memberikan kelebihan 2-1 kepada Malaysia sehingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Pakistan bangkit pada suku ketiga dengan Sufyan mempamerkan ketajamannya menerusi pukulan sudut penalti apabila meledak tiga gol pada minit ke-39, 43 dan 46, manakala Faizal turut mencetak gol keduanya menerusi situasi sama pada minit ke-45.

Ketinggalan 3-4 tidak mematahkan semangat Speedy Tigers yang meningkatkan tekanan pada suku terakhir sebelum Shello kembali menemui sasaran pada minit ke-56 untuk menyamakan kedudukan 4-4.

Hanya seminit kemudian, Azrai Aizad Abu Kamal muncul wira negara apabila menjaringkan gol kelima untuk melengkapkan kebangkitan dramatik Malaysia dan memastikan kemenangan 5-4.

Kemenangan itu menyaksikan Speedy Tigers meneruskan rekod sempurna dalam Kumpulan B selepas sebelum ini membelasah Uzbekistan dan Oman masing-masing 7-0 serta Thailand 10-0, sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.

Malaysia dijadual menutup aksi peringkat kumpulan menentang China, Isnin ini dengan pertemuan tersebut menjadi medan penting buat anak buah Carolan untuk meneruskan momentum sebelum memasuki saingan kalah mati. KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN