fbpx
Sumathi menunjukkan keadaan cucunya yang dirawat di HSAH selepas terjatuh apabila jeriji besi di PPR Paya Nahu 2, Sungai Petani kelmarin.

Jeriji besi reput patah, kanak-kanak parah terjatuh dari tingkat satu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUNGAI PETANI – Seorang kanak-kanak perempuan parah selepas terjatuh dari tingkat satu apabila jeriji besi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu 2, patah di sini kelmarin.

Mangsa, S. Shaishangkar, 4, kini menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) akibat pendarahan di bahagian otak dan dilaporkan tidak sedarkan diri.

Kejadian berlaku pada pukul 11.30 pagi ketika kanak-kanak itu bermain sebelum memegang jeriji besi yang reput dan rosak.

Keadaan jeriji besi di rumah Sumathi di tingkat satu PPR Paya Nahu 2, Sungai Petani yang patah.

Nenek mangsa, M. Sumathi, 47, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyapu sampah di hadapan rumahnya di tingkat satu.

“Tiba-tiba cucu saya berlari ke arah jeriji sebelum memegangnya menyebabkan ia patah sebelum dia terjatuh. Dari (tingkat) atas, saya melihat cucu dalam keadaan tertiarap, tidak bergerak dan kepalanya berlumuran darah,” katanya di sini hari ini.

Menurut wanita itu, dia bergegas turun dan memanggil cucunya berulang kali, namun tiada sebarang tindak balas.

Sumathi kemudian meminta bantuan jiran untuk membawa cucunya ke Klinik Kesihatan Bandar sebelum dirujuk ke HSAH bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Selepas pemeriksaan dilakukan, saya diarah membawa cucu untuk mendapatkan rawatan lanjut di HSAH berikutan kecederaan serius yang dialaminya. Selepas dua hari kejadian, cucu saya masih tidak sedarkan diri dan ini amat merunsingkan saya.

“Saya kesal dengan kejadian ini kerana kerosakan jeriji itu dikesan telah lama berlaku. Saya sudah beberapa kali melaporkan perkara itu kepada pihak berkaitan, namun tiada sebarang tindakan diambil,” ujarnya.

Sumathi berkata, sebagai suri rumah yang tidak mempunyai pendapatan tetap, dia tidak dapat membaiki jeriji besi yang rosak itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN