GEORGE TOWN – Sekolah di Pulau Pinang bersedia melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 200 susulan keadaaan jerebu yang tidak menentu ketika ini.
Pengarah Pendidikan Negeri, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, pemantauan berhubung situasi semasa dijalankan dan pemakluman awal akan diberikan kepada pihak sekolah serta ibu bapa sekiranya operasi sekolah perlu dihentikan.
Menurutnya, berdasarkan garis panduan ditetapkan, aktiviti luar bilik darjah tidak dibenarkan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala apabila mencapai 200, murid tidak perlu hadir ke sekolah dan PdPR akan dilaksanakan.
“Buat masa sekarang…belum lagi (PdPR). Kita buat persediaan. Jika kita nampak bacaan menunjukkan kecenderungan mencapai 200, kita akan maklumkan lebih awal supaya guru, ibu bapa dan murid dapat membuat persediaan untuk pelaksanaan PdPR
“Kita minta sekolah tidak melaksanakan aktiviti di luar bilik darjah dan lebih berfokus kepada aktiviti dalam bilik darjah sahaja. Aktiviti sukan sekolah juga ditangguhkan serta-merta jika IPU melebihi 100,” katanya selepas menghadiri program Kunjungan Pemantauan Kesediaan Sekolah Menguruskan Warga Sekolah Menghadapi Jerebu di Sekolah Kebangsaan Bukit Gelugor di sini, hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan melakukan penilaian berhubung keadaan jerebu pada petang atau malam sehari sebelumnya bagi menentukan tindakan yang perlu diambil pada hari berikutnya.
“PdPR perlu dimaklumkan lebih awal kerana guru perlu membuat penjadualan dan memaklumkan murid mengenai proses pembelajaran.
“Kita tidak mahu membuat keputusan pada saat akhir sehingga menyebabkan ibu bapa, pihak sekolah dan pengusaha kantin tidak sempat membuat persediaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














