GELARAN Olahragawan Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 menjadi pembakar semangat buat penembak Pahang, Cheah Zen Hong untuk memburu impian lebih besar selepas ini iaitu bergelar Olimpian dan mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.
Atlet berusia 20 tahun itu mengakui impian beraksi di pentas Olimpik adalah antara sasaran terbesar dalam kariernya selepas menutup tirai Sukma terakhir dengan pencapaian luar biasa.
Katanya, dia tidak mempunyai untuk berehat panjang kerana cabaran besar menantinya selepas ini termasuk usaha memburu peluang beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).
“Bagi saya, Olimpik itu salah satu sasaran besar saya. Saya akan terus berusaha untuk mencapai impian itu.
“Perjalanan itu memang susah, tetapi saya akan terus bekerja keras dan buat yang terbaik. Tidak kisah LA28 atau Olimpik yang akan datang, saya akan terus berusaha supaya dapat bergelar Olimpian,” katanya.
Zen Hong berkata, tumpuan selepas ini memburu tempat dalam Program Podium, sekali gus membuka lebih banyak peluang untuk mendapat pendedahan di kejohanan antarabangsa.
“Saya sekarang berada dalam Program Pelapis. Bagi saya, gaji bukan perkara utama. Saya cuma mahu buat yang terbaik dan kalau boleh naik podium, maksudnya saya boleh dapat lebih banyak pendedahan dalam pertandingan luar.
“Sekarang fasa saya sebagai atlet remaja sudah tamat. Jadi selepas ini saya kena lebih serius dan bersedia untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Zen Hong mencipta prestasi cemerlang di Sukma 2026 selepas cemerlang meraih sembilan pingat emas dan satu perak, sekali gus memperbaiki pencapaian peribadinya tujuh emas pada Sukma Sarawak 2024.
Atlet kelahiran Kuantan, Pahang itu memenangi emas dalam acara 10 meter air pistol, 10m air pistol berpasukan, 10m air pistol campuran, 25m rapid fire pistol, 25m sport pistol, 25m sport pistol berpasukan, 25m standard pistol berpasukan, 50m pistol dan 50m pistol berpasukan.
Sementara itu, perenang Selangor, Eliza Tan Ai Shen, 19, dinobatkan sebagai Olahragawati Sukma 2026 selepas cemerlang memenangi emas dalam kesemua tujuh acara yang disertainya selain memecahkan rekod kebangsaan acara 100m gaya bebas wanita sebanyak dua kali, dengan catatan baharu 56.78 saat.
Dia turut memenangi emas 200m gaya bebas dengan catatan 2:05.26 saat dan lebih manis,
Eliza turut memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 50m individu, 4x100m gaya bebas berganti-ganti, 4x200m gaya bebas berganti-ganti dan 4x100m rampaian berganti-ganti.
Pencapaian Eliza turut membantu Selangor mengumpul 20 pingat emas, tujuh perak dan 11 gangsa dalam acara renang di Pusat Akuatik Selangor.














