Mahkamah Tinggi Seremban hari ini menetapkan 17 Disember depan bagi pendengaran permohonan injunksi berhubung pertikaian jawatan Undang Luak Jelebu.

Permohonan injunksi kuat kuasa nasihat DKU, 17 Disember ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini menetapkan 17 Disember depan bagi pendengaran permohonan injunksi berhubung penguatkuasaan nasihat Dewan Keadilan dan Undang DKU dan warta kerajaan negeri berkenaan Undang Luak Jelebu.

Penetapan tarikh itu dibuat oleh Hakim, Roz Mawar Rozain selepas permohonan berkenaan didaftarkan dan dibawa ke mahkamah untuk prosiding dalam kamar pada pukul 4.35 petang tadi.Permohonan tersebut difailkan oleh Datuk Azrin Khairi terhadap Maarof Mat Rashad selaku responden.

Dalam permohonan itu, Azrin memohon deklarasi mahkamah untuk memperakui bahawa Plaintif adalah satu-satunya Undang Luak Jelebu ke-17 sebagaimana nasihat DKU dan warta kerajaan negeri dan bahawa plaintif sahaja berhak memakai gelaran, hak, keistimewaan dan fungsi jawatan Undang Luak Jelebu.

Beliau turut memohon deklarasi mahkamah untuk memperakui Maarof telah diberhentikan daripada jawatan dan gelaran Undang Luak Jelebu Ke-16 berkuat kuasa 31 Mei 2023 sebagaimana nasihat DKU dan warta kerajaan negeri sekali gus tidak lagi berhak menggunakan gelaran berkenaan atau menjalankan fungsi jawatan tersebut.

Selain itu, pemohon memohon penguatkuasaan melalui injunksi kekal bagi menghalang responden daripada menggunakan gelaran Undang Luak Jelebu, mengadakan majlis berkaitan adat atas kapasiti tersebut serta membuat sebarang pelantikan atau pengesahan pemegang pesaka dan jawatan adat Luak Jelebu.

Pemohon turut memohon supaya responden termasuk ejen, wakil, pekhidmatnya diarahkan menurunkan dan memadam segala poster, hantaran serta bahan yang menghebahkan dirinya sebagai Undang Luak Jelebu dalam tempoh tujuh hari selepas perintah mahkamah dikeluarkan.

Dalam perkembangan sama, pemohon memfailkan permohonan injunksi interim secara sebelah pihak (ex-parte) bagi menghalang responden daripada menjalankan fungsi sebagai Undang Luak Jelebu sementara menunggu pelupusan kes.

Bagaimanapun, semasa prosiding tersebut, peguam pemohon telah memohon kepada mahkamah untuk pendengaran secara interparte.

Mahkamah menetapkan tarikh 17 Disember bagi permohonan tersebut diteruskan secara inter-parte dengan notis berkenaan perlu diserahkan kepada responden. Kedua-dua permohonan ditetapkan untuk pendengaran pada tarikh berkenaan menerusi sidang video Zoom. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN