PETALING JAYA – Seorang pegawai Perkeso reda apabila kehilangan ibu tercinta yang dijaganya akibat terlantar sakit sejak bertahun lalu selang tiga hari selepas bapanya ‘pergi’ menghadap Ilahi.
Zulridza Zolkepli, 31, berkata, ibunya, Ainon Sapar, 68, meninggal dunia pada 1 Oktober lalu akibat strok selepas bapanya, Zolkepli Katan, 71, dikebumikan pada 28 September akibat penyakit buah pinggang.
Mengimbau semula kejadian itu, Zolkepli berkata, dia berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja ketika bapanya meninggal dunia ketika tidur.
“Saya segera balik selepas dimaklumkan oleh kakak yang membantu menjaganya sepanjang ketiadaan saya. Ketika meninggal, arwah memakai baju Melayu berwarna maroon yang saya belikan ketika hari raya.
“Bapa kemudian disemadikan di kawasan perkuburan di depan rumah yang hanya boleh dilihat dengan membuka pintu,” katanya yang berasal dari Kluang, Johor.
Menurut Zulridza, selang tiga hari ibunya sudah kelihatan lemah dan tidak mampu lagi hendak menjamah makanan sebelum dia membisikkan syahadah di telinganya.
Tambahnya, tidak berapa lama, ibunya terus ‘pergi’ dalam keadaan tenang dan di pangkuannya selepas dia meminta ampun serta meminta dihalalkan air susu yang diberikan.
“Jenazah ibu dikebumikan bersebelahan bapa. Ibu menghidap strok sejak 2015, manakala bapa menghidap masalah buah pinggang dan perlu menjalani dialisis sejak 2018,” katanya.
Ujar Zulridza, rutin harian ketika ibu bapanya masih hidup bermula seawal pukul 4 pagi dengan menyediakan makanan, selain menguruskan keperluan mereka sebelum ke tempat kerja.
“Walaupun penat dan tertekan, saya tidak pernah menganggap menjaga ibu bapa sebagai beban, sebaliknya ia adalah tanggungjawab.
“Sesibuk mana pun kita, utamakanlah mak dan ayah. Jangan tinggalkan mereka dan cuba sedaya upaya jaga mereka selagi masih ada,” pesannya.
Zulridza berterima kasih kepada pengurusan Perkeso yang memudahkan urusannya ketika dia berbakti kepada ibu bapanya sepanjang hayat mereka.
“Tidak lupa juga kepada rakan-rakan sekerja di atas segala sokongan ruang dan emosi yang amat saya perlukan,” katanya. -KOSMO! ONLINE














