fbpx
KAYAP merupakan ruam menyakitkan yang tumbuh pada badan pesakit. – Gambar hiasan

Kayap boleh tinggalkan sakit berpanjangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAYAP atau herpes zoster bukan sekadar ruam menyakitkan kerana sebahagian pesakit terus menderita selepas kulit kembali pulih.

Keadaan itu dikenali sebagai Postherpetic Neuralgia (PHN) iaitu sakit saraf berpanjangan yang boleh berlarutan berbulan atau bertahun.

Menurut Pakar Anestesiologi dan Perubatan Kesakitan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr. Mohd. Faeiz Pauzi, PHN berlaku akibat kerosakan saraf selepas kayap.

“Virus varicella-zoster boleh kembali aktif selepas bersembunyi dalam sistem saraf sejak seseorang mengalami kayap.

“Apabila aktif semula, virus ini menyebabkan kayap berupa ruam, lepuhan dan kesakitan mengikut laluan saraf tertentu.

“Namun, keradangan atau kerosakan saraf boleh berterusan selepas ruam sembuh hingga menyebabkan pesakit mengalami sakit neuropatik berpanjangan,” katanya.

Jelasnya, pesakit mungkin merasakan sakit terbakar, mencucuk, kebas atau seperti terkena renjatan elektrik pada kawasan bekas ruam.

Sentuhan ringan juga boleh menjadi sangat menyakitkan, dan keadaan ini dikenali sebagai allodynia.
Manakala kesakitan berlebihan disebut hyperalgesia.

PHN lebih berisiko berlaku kepada individu berusia, terutama mereka melebihi 50 tahun, selain golongan yang mempunyai imuniti lemah.

Dr. Mohd. Faeiz berkata, rawatan kayap perlu dimulakan seawal mungkin bagi mengurangkan risiko komplikasi berkaitan saraf.

“Ubat antivirus seperti acyclovir perlu diberikan berdasarkan penilaian doktor, terutama apabila pesakit mendapatkan rawatan pada peringkat awal,” katanya.

PHN lazimnya melibatkan bahagian dada, tetapi turut boleh menyerang muka, leher dan bahu bergantung kepada saraf terjejas.

Bagi pesakit yang sudah mengalami PHN, rawatan biasanya menggunakan ubat khusus untuk mengawal sakit saraf.

Antaranya adalah gabapentin, pregabalin dan amitriptyline, manakala tampalan lidokain boleh dipertimbangkan bagi kesakitan yang setempat.

Sementara itu, Pensyarah Perubatan dan Pakar Perubatan Keluarga UniSZA, Dr. Siti Norazlina Juhari berkata, rawatan kayap perlu disesuaikan mengikut keadaan setiap pesakit.

“Sakit kronik bukan sahaja menjejaskan tubuh, malah boleh mengganggu tidur, emosi, pekerjaan dan kehidupan sosial pesakit.

“Jika ubat tidak mencukupi, pesakit boleh dirujuk kepada pakar kesakitan untuk rawatan intervensi seperti suntikan saraf atau pulsed radiofrequency (PRF),” katanya.

Pendekatan psikologi juga penting kerana sesetengah pesakit mengalami keresahan, kemurungan dan hilang keyakinan diri akibat kesakitan berpanjangan.

“Pesakit perlu mendapatkan bantuan lebih awal dan berbincang dengan doktor sekiranya kesakitan berterusan selepas ruam kayap sembuh.

“Pencegahan turut penting menerusi vaksin herpes zoster terutama bagi golongan yang memenuhi syarat penggunaannya,” ujarnya.

Dr. Siti Norazlina menegaskan, kesedaran mengenai PHN perlu dipertingkat supaya masyarakat tidak menganggap hilangnya ruam bermakna semua risiko sudah berakhir.

Katanya, tindakan awal, rawatan bersesuaian dan pencegahan dapat membantu mengurangkan kesakitan saraf yang perlu ditanggung oleh pesakit untuk tempoh panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN