fbpx
Tangkap layar video seorang warga emas yang jatuh dari tingkat tiga bangunan HRPB di Ipoh hari ini.

Warga emas jatuh dari aras tiga bangunan HRPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang warga emas yang terjatuh dari aras tiga bangunan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini petang tadi kini berada dalam keadaan kritikal.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati seorang pengawal keselamatan hospital telah mengesan seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan berada di laluan tangga kecemasan.

“Pengawal keselamatan tersebut kemudiannya mengekori lelaki berkenaan sebelum mendapati mangsa telah terjatuh dari aras tiga bangunan berkenaan.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Jabatan Kecemasan HRPB untuk mendapatkan rawatan,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Najib berkata, mangsa dipercayai seorang lelaki Cina tempatan berusia lingkungan 60 hingga 70 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

Beliau berkata, semasa ditemui, mangsa memakai baju-T lengan pendek berwarna merah dan seluar slack berwarna hitam.

“Mangsa kini masih menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

“Sehubungan itu, pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat, mempunyai ahli keluarga yang dilaporkan hilang atau mengenali mangsa berdasarkan ciri-ciri tersebut supaya tampil membantu pihak polis mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2542222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN