fbpx
SPESIMEN kedua Red-bellied Piranha (Pygocentrus nattereri) yang ditemukan di Sungai Klau, Raub, Pahang- FB JEJAK AIR TAWAR

Jumpa ikan mirip piranha, jangan buang – DOF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TELUK BAHANG – Jabatan Perikanan (DOF) meminta nelayan di sekitar Empangan Klau di Raub, Pahang supaya tidak membuang mana-mana ikan yang mempunyai ciri menyerupai piranha, sebaliknya menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk pengesahan spesies.

Ketua Pengarahnya, Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya setakat ini masih belum memperoleh spesimen fizikal ikan yang dirakam menerusi video dan didakwa menyerupai piranha di empangan berkenaan, baru-baru ini.

“Berdasarkan analisis awal bersama Institut Penyelidikan Perikanan Glami Lemi di Negeri Sembilan serta morfologi dalam video yang dirakam seorang nelayan, ikan itu menghampiri spesies piranha.

“Bagaimanapun, kita tidak dapat membuat pengesahan kerana tiada spesimen fizikal. Nelayan yang memperoleh ikan berkenaan telah membuangnya.

“Jadi, jangan buang atau lupuskan sebarang ikan yang disyaki piranha, tetapi serahkan kepada DOF supaya kita dapat membuat pengesahan rasmi,” katanya selepas merasmikan Pusat Pendidikan Marin di Hotel Angsana, Teluk Bahang, di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai penemuan seekor ikan yang didakwa menyerupai jenis piranha di Empangan Klau sehingga menimbulkan kebimbangan orang ramai.

Mengulas lanjut, Adnan berkata, pihaknya perlu meneliti ciri fizikal ikan berkenaan termasuk morfologi, sisik dan gigi bagi memastikan sama ada ia benar-benar spesies piranha atau spesies lain seperti pacu.

Sehubungan itu, tambahnya, DOF Pahang sudah menghubungi nelayan di sekitar Empangan Klau supaya tidak membuang ikan berkenaan, sebaliknya menyimpan dan menyerahkannya kepada pihaknya untuk pemeriksaan serta pengesahan spesies. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN