PETALING JAYA – Niat seorang pemilik menyewakan kediamannya pada harga murah atas dasar kasihan, akhirnya memakan diri apabila rumah berkenaan didakwa ditinggalkan dalam keadaan yang sangat teruk.
Lebih mengecewakan, kediaman yang sebelum ini dijaga dengan baik itu kini mengalami pelbagai kerosakan, manakala beberapa bil utiliti didakwa tertunggak selama berbulan-bulan.
Pemilik rumah berkenaan yang menggunakan profil @Shai Said di media sosial berkata, keadaan itu disedarinya pada 16 September lalu.
“Orang lain sambut Hari Malaysia, aku pula dapat kejutan dengan keadaan rumah yang aku sewakan atas dasar kasihan. Sewa murah pun berbulan-bulan tidak bayar, segala bil tertunggak. Tak sangka rumah yang dulu aku jaga elok dapat pada tangan penyewa yang sangat-sangat teruk.
“Pernah baca pasal penyewa dari neraka, rupanya aku alami nasib dapat penyewa dari neraka juga” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Menurut Shai, kediaman tersebut disewakan kepada pasangan suami isteri bersama dua anak kecil, namun terpaksa meminta penyewa berkenaan keluar berikutan bayaran sewa dan bil bulanan tertunggak.
“Saya paksa dia keluar rumah. Minta balik kunci rumah sebab dah lama sewa tak bayar dan bil semua banyak tertunggak. Sedih tak tahu nak cakap. Rumah hancur, pening nak fikir modal untuk baiki segala kerosakan ini,” ujarnya.
Perkongsian itu menarik perhatian orang ramai yang rata-rata bersimpati dengan nasib pemilik rumah berkenaan.
“Kasihannya dengar suara tuan rumah,” komen @Rayyanfetty.
“Ya Allah, macam mana dia orang duduk dalam keadaan begitu,” kata @Fiezara.
“Nak kemas bukan sikit. Nak upah lori lagi nak buang barang,” luah @Kaklongjb. – KOSMO! ONLINE
@shaisaid Selasa 16 Sept 2026 org lain sambut hari 1Malaysia.. aku plak dpt kejutan dgn keadaan rumah yg aku sewakan atas dasar kasihan.. sewa murah pun berbulan2 x byr segala bil tertunggak.. x sangka rumah yg dulu aku jaga elok dpt kat tgn penyewa yg sgt2 teruk.. pernah baca psl penyewa dr Neraka.. rupanya aku alami nasib dpt penyewa dr neraka juga. sedih x tau nak ckp.. rumah hancur.. pening nak pk modal utk baiki segala kerosakan ni.. #penyewadarineraka #maduyangkaubalastuba #buatbaikberpadapada #rumahsewa #sedihbanget😭😭😭 ♬ original sound – Shai Said
















