TELUK INTAN – Minyak diesel bernilai RM1,525,190 disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam serbuan Ops Tiris di sebuah jeti perikanan di Hutan Melintang di sini pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan selama sebulan bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dan penyelewengan barang kawalan, terutama diesel bersubsidi di Hutan Melintang.
Beliau berkata, risikan mendapati terdapat aktiviti lori tangki memasuki jeti di kawasan tersebut untuk mengambil diesel yang disimpan dalam dua buah tangki skid.
“Kedua-dua tangki skid itu dipercayai menyimpan diesel nelayan yang disedut dan dipindahkan tanpa kebenaran daripada sebuah bot nelayan Kelas C,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, bertindak atas maklumat, pasukan penguat kuasa menyerbu jeti itu pada pukul 5 pagi dan menahan tiga lelaki tempatan berusia 33 hingga 42 tahun.
“Mereka terdiri daripada pemandu lori, kelindan dan pemilik jeti perikanan. Siasatan awal mendapati diesel nelayan yang dibeli pada harga RM1.65 seliter dipercayai dijual semula lebih RM4 seliter di pasaran gelap.
“Pemeriksaan lanjut di lokasi itu, pasukan penguat kuasa menemukan sebanyak 43,000 liter minyak diesel,” katanya.
Jelasnya, siasatan awal mendapati terdapat aktiviti pemindahan diesel tanpa kebenaran di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, selain disyaki mempunyai unsur penyelewengan diesel nelayan bersubsidi.
“Sehubungan itu, pihak kami menyita sebuah bot nelayan Kelas C berkapasiti 14,000 liter, sebuah lori tangki berkapasiti 43,000 liter, dua tangki skid, 43,000 liter diesel, hos dan peralatan untuk memindahkan minyak, pam elektrik (hidraulik) dan beberapa dokumen berkaitan.
“Nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM1,525,190 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya. – KOSMO! ONLINE
















