fbpx
Penduduk melihat keadaan jambatan baharu yang sudah boleh digunakan di Kampung Batu 6, Gua Musang semalam.

12 tahun tunggu jambatan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Penantian penduduk Kampung Batu 5, Batu 6 dan beberapa kampung lain di sini selama 12 tahun untuk mendapatkan jambatan baharu bernilai RM11.6 juta berakhir apabila kemudahan merentasi Sungai Galas itu siap serta boleh digunakan.

Jambatan yang menjadi peng­­hubung utama penduduk itu runtuh akibat bah ku­ning pada 2014 sekali gus menye­babkan mereka terpaksa menggunakan jambatan sementara yang sering menimbulkan ma­salah apabila paras air sungai meningkat.

Penduduk Kampung Batu 5, Kua Eh Say, 62, berkata, pe­nantian panjang itu akhirnya terlaksana selepas jambatan baharu yang lebih tinggi, kukuh dan selamat dapat digunakan.

Katanya, sebelum ini, lebih 1,000 penduduk dan pengguna jalan berdepan risiko terputus hubungan setiap kali hujan le­bat kerana jambatan besi sementara ditenggelami air.

“Perasaan kami sangat gembira dan terharu kerana selepas hampir 12 tahun menanti akhirnya kami dapat jambatan baharu yang begitu cantik dan sempurna.

“Sekarang masalah itu dapat diatasi dan banyak urusan menjadi lebih mudah termasuk membawa keluar hasil pertanian serta hantar anak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di Jambatan Kampung Batu 6 di sini.

Penduduk Kampung Batu 8, Mamat Merah, 74, yang menetap di kawasan ber­kenaan lebih 50 tahun pula berkata, jambatan baharu itu merupakan satu perubahan besar kepada penduduk selepas bertahun berdepan kesukaran untuk keluar dan masuk ke kawasan berkenaan.

Katanya, sebelum ini, penduduk terpaksa menggunakan jambatan kereta api dan jambatan besi yang berisiko untuk menyeberangi sungai.

“Saya datang ke sini sejak 1970 dan ketika itu kawasan ini masih hutan. Sekarang kita sudah nampak banyak perubahan termasuk pembinaan jalan dan jambatan yang memudahkan penduduk,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN