fbpx
Wanita buat live di media sosial semasa idah kematian tidak dilarang secara mutlak tetapi perlu menjaga adab, niat dan kandungan (content).

Hukum wanita dalam idah buat ‘live’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Apakah hukum wanita menjalani idah akibat kematian membuat live di media sosial yang kadangkala dilihat ramai orang terutama ajnabi?

JAWAPAN: Sekiranya membuat live merupakan salah satu medium untuk mendapatkan sumber pendapatan seperti menjual barang, maka ia diharuskan dengan mematuhi garis panduan idah dan ihdad atau berkabung yang ditetapkan oleh syarak. Namun begitu, jika live tersebut dilakukan tanpa sebarang tujuan, maka ia sewajarnya dielakkan bagi mengelakkan fitnah.

Menurut hukum syarak, tempoh idah bagi wanita yang kematian suami adalah selama empat bulan 10 hari. Penetapan ini jelas dinyatakan dalam firman Allah SWT berikut: “Dan mereka yang meninggal dunia dalam kalangan kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan 10 hari. (Surah al-Baqarah, 234)

Hikmah pensyariatan idah kematian suami bertujuan menunjukkan kesedihan yang mendalam atau dukacita terhadap pemergian suami.

Hikmah tempoh empat bulan juga sebagai ruang masa untuk memastikan isteri menunjukkan tanda kehamilan dan kewujudan janin dalam rahim sekiranya ada, kemudian ditambah tempoh 10 hari sebagai langkah berhati-hati serta menjaga kebajikan isteri.

Isteri yang kematian suami diwajibkan berkabung atau ihdad sepanjang tempoh idah. Ihdad dari sudut bahasa yang membawa maksud larangan daripada memakai sebarang pakaian, perhiasan, wangian, solekan dan sebagainya yang boleh menarik perhatian lelaki kepadanya. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Ummu ‘Atiyyah: “Seorang wanita dilarang berkabung atas kematian seseorang lebih dari tiga hari kecuali atas kematian suaminya. Dia hendaklah berkabung selama empat bulan 10 hari. Janganlah dia memakai pakaian yang dicelup kecuali pakaian ‘asab (kain berasal dari Yaman yang diperbuat daripada benang yang yang dicelup dengan warna kemudian dipintal), janganlah memakai celak, jangan memakai minyak wangi kecuali ketika dia bersuci daripada haid, hendaklah dia mengambil sepotong qusth atau azhfaar (sabun bagi tujuan menghilangkan bau darah dan bukan tujuan berwangi-wangian). (Riwayat Muslim)

Walaupun tidak boleh berhias dengan sesuatu yang boleh menarik perhatian lelaki ajnabi, wanita kematian suami tidak dilarang untuk menjaga kebersihan dan penjagaan diri seperti memotong kuku, menggunakan sabun untuk kebersihan diri dan pakaian kerana ia merupakan satu keperluan diri yang asas termasuk menjaga kebersihan rumah.

Konteks kehidupan pada zaman teknologi ini, ramai wanita menjadikan medium live di media sosial sebagai tempat mencari sumber pendapatan dengan menjual barangan, mengajar dan menimba ilmu atau sebarang tujuan lain diharuskan syarak.

Penetapan tempoh idah dan ihdad ini bukanlah penghalang wanita kematian suami daripada membuat live, menghantar sebarang video di media sosial atau bercakap di khalayak ramai selagi kandungannya berfaedah dan patuh syariat. Hal ini kerana ia tidak termasuk dalam larangan semasa menjalani idah dan ihdad tersebut.

Namun begitu, dalam merai dan menjaga kebajikan wanita Muslimah, keharusan ini terikat selagi wanita tersebut tidak melakukan apa-apa yang dilarang oleh syarak seperti berpakaian sopan, tiada unsur tabarruj ketika live atau melakukan sebarang perbuatan bertentangan dengan akhlak Islam dan bercanggah dengan hukum dan suasana ihdad itu sendiri.

Keadaan ini juga tidak terhad dalam tempoh idah sahaja, bahkan sewajarnya diamalkan sentiasa oleh wanita Muslimah.

Kesimpulannya, pensyariatan ihdad boleh dilihat sebagai menutup pintu fitnah dan menjaga maruah wanita.

Apabila wanita tidak dibenarkan berhias, keluar tanpa keperluan atau menerima lamaran semasa dalam idah adalah bertujuan mengelakkan syak wasangka dan menjaga maruah wanita, terutamanya dalam saat-saat rapuh selepas kematian suami.

Live di media sosial semasa idah kematian tidak dilarang secara mutlak tetapi perlu dijaga adab, niat dan kandungan.

Live di media sosial ini tidak termasuk dalam makna keluar rumah yang dilarang dalam ihdad. Jika ada unsur pendedahan, berhias berlebihan atau melalaikan, maka ia dilarang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN