ATLET BMX Lelaki Selangor, Khaidir Idzham ketika beraksi dalam acara final BMX Park Sukan Malaysia (Sukma) 2026 di sini hari ini. - SHIDDIEQIIN ZON

Sukma 2026: Selangor mengganas kutip empat emas BMX

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Selangor terus mengganas apabila menyapu bersih empat pingat emas BMX dalam acara flatland dan park lelaki serta wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 di Xtreme Park MBPJ, di sini, hari ini.

Penguasaan tuan rumah bermula dalam acara Park lelaki apabila Muhammad Khaidir Idzham Abdul Haqq tampil cemerlang untuk meraih emas, sekali gus mengetepikan rakan sepasukan, Ziyad Razzidin Mohd Zainurdin yang terpaksa berpuas hati dengan perak.

Atlet Pulau Pinang, Randy Zulkarnain Mohd Zainurdin meraih gangsa.

Atlet Selangor, Nia Nur Aidryana ketika beraksi dalam acara final BMX park di Sukan Malaysia (Sukma) 2026. -SHIDDIEQIIN ZON

Dalam acara park wanita pula, gandingan adik-beradik, Nia Nur Aidryana Mohd Nor Aszeril dan Nur Airen Sofea, meneruskan pesta emas Selangor apabila masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua, manakala gangsa menjadi milik wakil Sarawak, Airis Nabihah Rais.

Pada sesi pagi, Selangor terlebih dahulu membuka tirai kejayaan menerusi Wan Ayden Faiq Wan Azizul Fitri yang muncul juara acara Flatland lelaki.

Pingat perak acara itu menjadi milik wakil Pulau Pinang, Muhammad Daniel Qhalish Mohammad Kasyidy, manakala seorang lagi wakil Selangor, Mohammad Anwar Khairy, meraih gangsa.

Nur Airen Sofea kemudian melengkapkan emas keempat Selangor apabila muncul juara flatland wanita, sekali gus mencipta pencapaian berganda selepas turut memenangi emas Park wanita.

Adiknya, Aidryana, membawa pulang perak, manakala wakil Wilayah Persekutuan, Nur Qistina Adriana Mohd Nor Abadi, meraih gangsa.

Mengulas kejayaan itu, pengurus pasukan Selangor, Ismathinoon Abdul Rahim berkata, pencapaian berkenaan tidak terhasil secara kebetulan sebaliknya hasil sokongan berterusan pihak pengurusan serta kemudahan latihan yang disediakan.

“Pihak pengurusan sudah melakukan yang terbaik untuk atlet dan kemudahan yang diberikan di sini oleh MBPJ antara yang terbaik.

“Jadi, kami berharap sukan BMX akan lebih menyerlah pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, Khaidir yang membuat penampilan sulung di pentas Sukma berkata, konsistensi dan disiplin menjadi kunci kejayaannya dalam menghadapi persaingan sengit.

“Apa yang sudah dirancang dengan jurulatih jangan sesekali diubah. Konsisten adalah kunci, disiplin kena jaga dan jangan gementar. Buat seperti apa yang kita latih,” katanya.

Acara BMX flatland dan park yang dipertandingkan buat julung kalinya di Sukma dan mendapat sambutan menggalakkan apabila menarik kehadiran ramai penonton yang hadir memberikan sokongan kepada atlet bertanding. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN