REMBAU – Seorang jururawat sebuah hospital swasta di ibu negara maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar belakang sebuah treler di Kilometer (KM) 228.4, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.14 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Aqil Mohammad Zaki, 25, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Ngiam Ooi Ming berkata, nahas membabitkan treler jenis Hino yang dipandu lelaki berusia 57 tahun dan motosikal Honda CBR250RR yang ditunggang mangsa.
“Siasatan awal mendapati treler terbabit yang membawa muatan sawit dalam perjalanan dari Segamat, Johor menuju Banting, Selangor dan berada di lorong kiri. Pemandu menyedari kejadian itu selepas merdengar bunyi dentuman dari belakang sebelum memberhentikan kenderaan di lorong kecemasan,” katanya ketika dihubungi. – KOSMO! ONLINE














