KUALA LUMPUR – Ketua kontinjen (CDM) negara ke Sukan Asia 2026, Datuk Mohd. Sumali Reduan bakal mengadakan pertemuan dengan semua pengurus pasukan esok bagi membincangkan beberapa perkara termasuk keperluan untuk membawa tukang masak sendiri.
Sumali menjelaskan, perbincangan itu penting dalam usaha memastikan keperluan atlet, termasuk aspek pemakanan dijadikan sebagai keutamaan sebelum kontinjen berangkat ke temasya itu yang berlangsung di Aichi-Nagoya, Jepun bermula 19 September hingga 4 Oktober depan.
Kata beliau, perkara tersebut masih berada dalam perbincangan selain belum ada cadangan untuk membawa tukang masak sendiri bersama kontinjen ke temasya sukan empat tahun sekali itu.
“Setakat ini, perkara berkenaan masih dalam perbincangan dan berdasarkan perkembangan terkini, kita belum bercadang untuk membawa chef (tukang masak) ke sana melainkan jika ada keperluan tertentu.
“Perkara itu akan dibincangkan bersama pengurus pasukan dalam mesyuarat esok, termasuk aspek pemakanan yang perlu diberikan perhatian sepanjang berada di sana nanti,” katanya ketika ditemui semasa lawatan ke venue latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil hari ini.
Pada masa sama, Sumali berkata, pihaknya juga akan mengumumkan sasaran pingat untuk Sukan Asia dalam masa terdekat, termasuk sasaran pingat emas dan keseluruhan. – KOSMO! ONLINE














