PETALING JAYA – Kapal persiaran Adora Mediterranea yang akan menjadikan Pelabuhan Klang sebagai ‘home port’ selama dua bulan bermula November ini, memberi peluang kepada para tetamunya khusus yang beragama Islam, menikmati makanan mesra muslim yang di masak daripada dapur kapal yang mematuhi garis panduan daripada pihak berwajib.
Melalui inisiatif ini, Pengarah Urusan Hwajing Travel & Tours Sdn Bhd., (Hwajing Travel), Kenny Cheong berkeyakinan pakej percutian di atas kapal persiaran tersebut akan mendapat sambutan yang baik daripada komuniti Islam kerana mereka tidak perlu risau tentang hidangan bufet yang disediakan.

Lebih menarik, tiada kasino yang beroperasi di atas kapal tersebut jadi para pelanggan boleh meluangkan masa untukmelakukan aktiviti disediakan.
Terdapat juga bilik solat dengan kompas kiblat yang mana kemudahan ini akan memberi ketenangan kepada tetamunya yang beragama Islam tidak memiliki akses internet untuk mencari arah kiblat khususnya ketika kapal sedang belayar.
“Semua keperluan ini adalah untuk memenuhi keperluan tetamu kami yang beragama Islam, kami berharap ia akan menjadi satu tarikan kepada pelanggan untuk bercuti di atas kapal persiaran Adora Mediterranea,” katanya dalam kenyataan.

Ini adalah inisiatif ketiga bagi kapal persiaran antarabangsa berlabuh di negara ini yang dibawa oleh Hwajing Travel ke Pelabuhan Klang, selepas program seumpamanya bersama Costa Serena pada 2024 dan MV Piano Land pada 2025.
Projek ini berjaya mengukuhkan peranan syarikat dalam memajukan aspirasi pelancongan kapal persiaran Malaysia serta menjadikan percutian kapal persiaran antarabangsa lebih mudah diakses pelancong tempatan.
Bermula 24 November, kapal persiaran itu bakal menawarkan empat destinasi menarik iaitu dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pinang, Langkawi, Phuket dan pelayaran sehala ke Nha Trang, Vietnam dan Guangzho, China. -KOSMO! ONLINE
















