KUALA LUMPUR – Syarikat peralatan elektrik, Haier Group Corporation (Haier) menyasarkan penguasaan sehingga 60 peratus pasaran bagi segmen mesin basuh di Malaysia selaras dengan pengenalan beberapa produk baharu.
Pengarah Produk Haier Malaysia, Stacy Kew Poh Yin berkata, sasaran itu berdasarkan prestasi jualan kategori mesin basuh yang menunjukkan perkembangan positif sepanjang tahun ini.
Sekali gus katanya, ia membuka ruang lebih besar kepada syarikat untuk memperkukuh kedudukannya dalam pasaran tempatan.
“Berdasarkan jumlah jualan (bagi kategori mesin basuh), kami sangat positif untuk tahun ini. Jadi kami sasarkan sekitar 60 peratus (penguasan jualan bagi segmen mesin basuh di Malaysia).
“Ini kerana, pasaran berubah dan pengguna juga berubah. Sebab itu kami sentiasa memperkenalkan produk baharu yang lebih berkembang mengikut keperluan semasa,” katanya pada majlis pelancaran mesin basuh siri IRIS 2698 semalam.
Siri berkenaan menggabungkan empat ciri utama iaitu Clean, Care, Smart dan Health yang merangkumi fungsi cucian, penjagaan fabrik, operasi automatik serta penjagaan selepas cucian.
Antara fungsi yang diketengahkan ialah teknologi Double Drive yang menggunakan dua kuasa pemacu bagi menghasilkan pergerakan cucian dan membantu mengurangkan pakaian daripada berbelit ketika proses mencuci.
Beliau berkata, aspek kecekapan masa turut diberi perhatian apabila teknologi berkenaan mampu memendekkan tempoh cucian kepada kira-kira 39 minit bagi program tertentu, berbanding tempoh biasa yang boleh mencecah hampir sejam.
Dalam pada itu, beliau berkata, Haier juga telah memperkenalkan lebih 10 produk baharu sejak tahun lalu sebagai sebahagian daripada usaha agresif memperluas rangkaian produknya di Malaysia.
Katanya, pendekatan itu turut mengambil kira permintaan pengguna terhadap produk yang bukan sahaja menawarkan fungsi asas, malah menggabungkan teknologi lebih pintar dan mudah digunakan.
“Jika kita lihat pasaran sekarang, kebanyakan produk masih konvensional. Kami mahu bergerak lebih jauh seperti telefon pintar dengan menjadikan penggunaan mesin basuh lebih mudah dan mesra pengguna,” katanya.-KOSMO! ONLINE














