KUALA LUMPUR – Blok pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat dan tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan Menteri berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH), hari ini.
Tindakan itu berlaku ketika Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan laporan RCI berkenaan yang berlangsung bermula pukul 10 pagi tadi.
Mesyuarat khas berkenaan dimulakan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan, sebelum diteruskan dengan sesi pertanyaan dan perbahasan oleh Ahli Parlimen.
Laporan RCI berkenaan meliputi siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Sebelum ini, pihak pembangkang antaranya meminta penerangan laporan RCI ditangguhkan sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali sihat.
Terdahulu, Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dilaporkan berkata, Anwar memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri sidang khas Parlimen hari ini bagi membahaskan laporan RCI berhubung Tabung Haji.
Pada sidang hari ini,Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin turut menggesa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat itu dipanjangkan sekurang-kurangnya kepada dua hari kerana laporan berkenaan melibatkan kepentingan jutaan pendeposit TH.
Beliau berkata tempoh sehari tidak mencukupi untuk Ahli Parlimen meneliti keseluruhan kandungan laporan, selain mendapatkan penjelasan kerajaan berhubung dapatan, syor dan tindakan susulan.
Terdahulu, kerajaan memutuskan laporan RCI TH akan didedahkan kepada umum, dengan dokumen setebal 211 halaman itu menjadi asas perbahasan di Dewan Rakyat hari ini. – KOSMO! ONLINE
















