Biarpun segmen bilionair masih didominasi lelaki, wanita secara perlahan-lahan semakin mendaki tangga.
Dalam senarai terkini Forbes Worlds Billionaires, 481 daripada 3,428 bilionair adalah wanita, menjadikan mereka mewakili 14 peratus daripada keseluruhan senarai. Ia bertambah berbanding tahun sebelumnya 13.4 peratus.
Wanita banyak mencipta kekayaan dalam bidang kecantikan dan makanan.
Pada minggu ini, CitaRasa kongsikan lima wanita terkaya di dunia seperti yang dilaporkan Forbes dan Unbiased.
1- Alice Walton – Amerika Syarikat
Alice Walton, 75, merupakan wanita terkaya di dunia saat ini.
Mempunyai nilai kekayaan AS$134 bilion (RM548 bilion), dia merupakan satu-satunya anak perempuan pengasas Walmart, Sam Walton.
Walaupun Alice mempunyai pegangan besar dalam syarikat Walmart bersama adik-beradiknya, Rob dan Jim, wanita ini bagaimanapun tidak memberi tumpuan kepada syarikat peruncitan itu. Sebaliknya, Alice lebih memberi fokus kepada bidang seni dan kesihatan apabila mengasaskan Crystal Bridges Museum of American Art pada tahun 2011 dan Alice L. Walton School of Medicine pada 2021.
2- Francoise Bettencourt Meyers – Perancis

Dengan kekayaan AS$100 bilion (RM409 bilion), Francoise merupakan wanita kedua terkaya di dunia saat ini.
Dia merupakan cucu kepada Eugene Schueller, pengasas empayar kecantikan L’Oreal yang kemudian mewarisi perniagaan itu daripada ibunya, Liliane Bettencourt.
Apabila ibunya mati pada tahun 2017, dia mewarisi harta dan kekayaan ibunya. Francoise memiliki saham besar dalam L’Oreal. Dia merupakan pengarah L’Oreal sejak tahun 1997.
Francoise juga merupakan pengasas dan presiden Faoundation Bettencourt Schueller yang menyokong sains dan seni serta masyarakat inklusif.
Francoise sebelum ini merupakan wanita terkaya di dunia sejak tahun 2021 sebelum dirampas kedudukan oleh Alice Walton sejak tahun 2024.
Hanya Walton dan Francoise yang merupakan wanita yang mempunyai kekayaan mencecah AS$100 bilion di dunia dan sering bersaing kedudukan tempat pertama dan kedua sejak hampir sedekad lalu.
3- Julia Koch – Amerika Syarikat

Di tempat ketiga ialah seorang balu atau janda yang mempunyai kekayaan AS$81.2 bilion (RM332 bilion). Apabila suaminya, David Koch meninggal dunia pada tahun 2019, Julia dan tiga anaknya mewarisi 42 peratus saham dalam Koch Industries yang merupakan syarikat pembuatan dan tenaga.
Sebelum Julia berkahwin dengan David, dia merupakan pembantu kepada pereka fesyen Adolfo Sardina dan membuat pakaian untuk pelanggan-pelanggan berprofil tinggi.
Julia merupakan Presiden David H. Koch Foundation yang menyokong banyak bidang termasuk penyelidikan perubatan, pendidikan dan seni.
4- Iris Fontbona – Chile

FONTBONA merupakan usahawan wanita bilionair yang mendirikan rumah tangga dengan salah seorang keluarga Luksic.
Mempunyai kekayaan AS$52.6 bilion (RM215 bilion), dia merupakan janda kepada Andrinico Luksic Abaroa yang mengasaskan sebuah empayar bisnes dalam perlombongan dan minuman.
Selepas lelaki itu meninggal dunia pada tahun 2005, Fontbona telah mewarisi kekayaan lelaki itu dan turut terlibat dengan bisnes, menjadikan dirinya wanita terkaya di Chile dan Amerika Selatan. Kekayaannya banyak disumbangkan oleh kawalan terhadap Antofagasta PLC, salah satu daripada pengeluar terbesar tembaga dunia dan Quinenco, konglomerat dalam sektor perbankan dan minuman.
5- Jacqueline Mars – Amerika Syarikat

Dengan kekayaan AS$49.1 bilion (RM200 bilion), wanita ini merupakan wanita kelima terkaya dunia dengan memiliki saham besar dalam empayar makanan dan gula-gula Mars Incorporated.
Dia merupakan cucu perempuan kepada Franklin Clarence Mars yang mengasaskan syarikat terkenal di sebalik populariti jenama M&Ms, Snickers dan Skittles. Wanita ini bekerja untuk bisnes keluarga ini selama dua dekad dan akhir-akhir ini dia dianggap sebagai antara individu terkaya dunia. Di sebalik bisnes, wanita ini juga terkenal dengan kerja-kerja kebajikan terutama dalam bidang pendidikan, pemuliharaan alam sekitar, seni selain aktif sukan ekuestrian.
















