DUNGUN – Ibu bapa Lans Koperal Muhammad Raimi Ismarubee, 24, tidak pernah menyangka hasrat anak mereka untuk pulang ke kampung halaman yang tertangguh lebih enam bulan akhirnya tercapai, namun kepulangannya kali ini hanya sebagai jenazah.
Ismarubee Ismail, 51, berkata anaknya, Muhammad Raimi yang maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengait kelapa di Weston, Beaufort, Sabah, semalam sudah beberapa kali menyatakan hasrat untuk pulang menjenguk dia dan isteri, Nor Azila Zakaria, 46, di Felda Kerteh 2, di sini.
“Kali terakhir dia (Muhammad Raimi) berpeluang pulang ke kampung pada Januari lalu untuk menghadiri kenduri perkahwinan sepupunya.
“Selepas itu, dia tidak dapat pulang ke kampung termasuk pada Aidilfitri dan Adiladha. Selain kekangan jadual tugas, hasrat itu terpaksa ditangguhkan kerana tidak dapat memperolehi harga tiket penerbangan yang lebih berpatutan,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Felda Kerteh 2, di sini hari ini.
Terdahulu Muhammad Raimi bersama dua rakan setugasnya di Balai Polis Weston iaitu Koperal Chiu Teck Siong, 40 dan Lans Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik, semalam.
Insiden pada pukul 5.50 petang itu dikatakan berlaku ketika mereka sedang mengalihkan galah besi sepanjang 8.84 meter yang digunakan untuk mengait buah kelapa di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.
Ismarubee berkata, Muhammad Raimi pernah memberitahu baru-baru ini dia bercadang pulang pada masa terdekat, namun dia dan isteri tidak menyangka kepulangan anak mereka itu hanyalah sebagai jenazah.
Katanya, dia bagai tidak percaya anak kedua daripada tiga beradik itu meninggal dunia kurang empat jam selepas mereka saling berhubung menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp pada pukul 2 petang. – KOSMO! ONLINE
















