KUALA LUMPUR – Dua sindiket yang aktif menjalankan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai dan pengedaran vape haram ditumpaskan menerusi Op Taring Alpha 3 dan Op Taring Alpha 1 di Selangor membabitkan rampasan lebih RM12.7 juta baru-baru ini.
Operasi itu dilaksanakan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, Op Taring Alpha 3 pada 28 Julai lalu menyasarkan sebuah premis di Batu Caves, Gombak dipercayai dijadikan pusat penyimpanan dan pengedaran vape di sekitar Lembah Klang.
“Seramai lima individu diperiksa dan kita merampas 131,036 kotak produk vape, 4,900 botol cecair vape serta 25,510 peranti rokok elektronik bernilai RM9.4 juta.
“Produk itu dipercayai melanggar Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Peranti Rokok Elektronik) 2022, Akta Perihal Dagangan 2011 serta Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Tengah, Pasukan Gerakan Am (PGA), Cheras, di sini hari ini.
Mohd Yusri berkata, semua suspek dan barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Pejabat Kesihatan Daerah Gombak untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Op Taring Alpha 1 pada 27 Julai lalu pula menyasarkan sebuah premis di Puchong yang dipercayai dijadikan lokasi penyimpanan, penjualan dan pengedaran rokok tidak bercukai.
Seramai tiga lelaki tempatan diberkas dan merampas 166 karton mengandungi 1.66 juta batang rokok seludup bernilai RM3.306 juta. Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sejak 1 Januari hingga 31 Julai lalu, sebanyak 236 kes direkodkan dengan 411 individu ditahan membabitkan rampasan berjumlah RM280.4 juta.
“Dalam tempoh sama, Op Taring Alpha 3 merekodkan 11 kes dengan lima tangkapan serta rampasan bernilai RM9.5 juta, manakala Op Taring Alpha 1 merekodkan lima kes dengan 10 tangkapan dan rampasan RM6.1 juta. – KOSMO! ONLINE
















