PETALING JAYA – Suami kepada pelakon Abby Abadi, Faizal Zakaria mengakui luluh melihat isterinya yang sering menjadi sasaran kecaman netizen dalam pada wanita itu sedang menanggung kesedihan yang amat dalam.
Faizal atau mesra disapa Jai mendedahkan keadaan Abby hakikatnya sangat rapuh di sebalik senyuman yang sering dilemparkan di hadapan khalayak.
“Bila sebut Abby Abadi, siapa yang tak kenal dan tidak tahu. Dalam pelbagai pujian, terselit cacian tapi tak apa sentiasa maafkan sebab mereka mungkin tak kenal dan tak pernah berada dalam kalangan ini.
“Sayang, saya tahu macam mana remuknya hati dan perasaan sayang. Keluhan yang sentiasa dipendam walaupun sentiasa senyum tapi saya tahu hati sayang menangis.
“Luka yang tidak akan pernah hilang parut. Sayang, saya sentiasa doakan sayang hingga akhir hayat saya,” katanya dalam TikTok.
Pada masa sama, Jai sanggup memikul segala kesakitan yang dirasai pemilik nama lengkap Arbaiyah Abdul Manan, 48, semata-mata mahu melihat cinta hatinya bahagia.
“Kalaulah masalah dan beban boleh dipindah, saya nak tanggung segalanya sayang.
“Saya nak sayang gembira, saya bukan insan yang nampak hebat di luar tapi saya tetap jadi hebat untuk sayang.
“Saya tak peduli apa orang kata tentang saya, biar saya nampak hebat depan sayang,” jelasnya.
Dalam kesempatan itu, Jai meluahkan kerisauan sekiranya dijemput Ilahi terlebih dahulu, memandangkan dia tahu isterinya memerlukan sokongan moral yang kuat untuk bertenang setiap kali berduka.
“Saya nak kita tua sama-sama. Cuma saya takut kalau Allah panggil saya pulang lebih awal dari sayang.
“Siapa yang akan dengar segala apa yang sayang hadapi dan sentiasa ada di kala sayang sedih. Sentiasa peluk untuk tenangkan sayang. Saya takut sangat-sangat sebab saya tahu tak ada sesiapa pun.
“Moga anak-anak, Daiyan, Dayana dan Darda menjadi peneman dan penenang sayang di kala sedih nanti.
“Merekalah pengganti saya nanti. Apa-apa pun kita doakan, kalau tiba Allah nak panggil kita pulang biarlah bersama,” kongsinya.
Tambahnya, dia memberi bayangan untuk membawa Abby dan anak-anak berpindah ke tempat baharu supaya lebih tenang.
“Sayang ada saya dan anak-anak, bila tiba masanya kita pergi jauh. Jom kita hijrah.
“Ada masanya tempat kita duduk ini sudah tidak sesuai untuk kita,” katanya lagi.
Sebelum ini, ketiadaan Abby mencetuskan tanda tanya ramai apatah lagi selepas pelakon terbabit meluahkan rasa kecewa tidak menghadiri majlis ulang tahun puterinya, Marissa Dania Hakim.
Menerusi satu siri hantaran, bekas anggota Elite itu mendakwa seolah-olah dirinya dipinggirkan ketika insan kesayangan yang dijaga sendirian sejak kecil diulit bahagia. – KOSMO! ONLINE














