JOHOR BAHRU – Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dijangka akan diumumkan dalam masa terdekat.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Fuziah Salleh berkata, Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengumumkan manifesto tersebut.
“Insya-Allah, manifesto PH dijangka akan diumumkan dalam masa sehari dua lagi.
“Manifesto ini sudah dimuktamadkan, kita menunggu tarikh daripada Pengerusi PH,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang SDS Food Manufacturing Sdn. Bhd. di Jalan Kempas Lama, di sini hari ini.
Fuziah berkata, manifesto PH bagi PRN Johor itu menyentuh soal kebajikan dan keperluan rakyat Johor.
“Yang pastinya, manifesto yang akan dibentangkan ini menepati kehendak dan citarasa rakyat Johor termasuk menyentuh soal kebajikan,” ujarnya.
Ditanya mengenai Dr. Maszlee Malik sebagai calon Menteri Besar dari PH, Fuziah enggan mengulas mengenai perkara tersebut.
“Saya rasa tak perlu kita umumkan, sebab kalau kat Johor ni, umum siapa pun, akhirnya tak semestinya orang tu jadi, kan?
“Jadi, tak perlu kita umum. Okey? Yang penting, prestasi calon itu bagus,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE






