SEREMBAN – Tujuh kenderaan mewah milik warga asing disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi Operasi Luxury yang dilaksanakan sejak Januari lalu hingga kini di beberapa lokasi strategik di negeri ini.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Jasyindar Singh Sidhu, berkata sitaan itu membabitkan warga asing dari China, Pakistan dan Bangladesh serta seorang lelaki pemegang kad UNHCR.
Menurutnya, sepanjang tempoh sama, sebanyak 870 kenderaan diperiksa dengan menyita sebanyak 145 kenderaan mewah yang didapati melakukan pelbagai kesalahan menerusi operasi berkenaan.
“Antara model kenderaan yang diperiksa dan diambil tindakan ialah BMW, Mercedes-Benz, Toyota Alphard, Lexus dan BMW Limousine,” katanya kepada pemberita hari ini.
Katanya, antara kesalahan yang diberi perhatian termasuk kegagalan memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans dan lesen memandu yang tidak sah atau tamat tempoh, selain pengubahsuaian kenderaan tanpa kelulusan JPJ. – KOSMO! ONLINE














