TANJUNG MALIM – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang menerapkan elemen kenegaraan dan ketenteraan peringkat asas akan diperkenalkan di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pada masa depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kementeriannya bersifat terbuka dan bersedia sepenuhnya untuk melaksanakannya.
“Kita juga terbuka, memang ada ruang itu sebab kena faham IPTS itu juga terdiri daripada institusi pengajian tinggi negeri (IPTN) dan universiti daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu syarikat-sywrikat utama seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan sebagainya.
“Jadi mereka juga terlibat dan akan berikan ruang itu juga kepada IPTS kemudiannya,” katanya di Bilik Diraja, Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan dua program dalam masa yang sama di universiti pendidikan tersebut iaitu Majlis Peluncuran Program Rintis Latihan Khidmat Negara (PKLN) 3.0 Peringkat Universiti Awam.
Selain itu, Majlis Peluncuran Buku Nahas Gerik: UPSI Berduka sebagai inisiatif universiti mendokumentasikan pengalaman mangsa yang terselamat serta keluarga yang terlibat dalam tragedi kemalangan bas pelajar UPSI di Gerik, Perak pada 9 Jun 2025.
Untuk rekod, bas itu membawa 44 individu dari Jerteh, Terengganu termasuk 42 orang pelajar UPSI berusia lingkungan 21 hingga 23 tahun, seorang pemandu dan seorang kelindan.
Seramai 13 mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Gerik.
Zambry berkata, program PLKN itu turut akan diperluaskan peringkat politeknik dan kolej komuniti. – KOSMO! ONLINE














