ALOR SETAR – Polis sedang memburu seorang lelaki yang bertindak menikam leher kenalan wanitanya di dalam kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas di sini malam tadi.
Suspek berusia 32 tahun yang merupakan ejen hartanah itu bertindak melarikan diri selepas kejadian tersebut yang berlaku kira-kira pukul 9.19 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pihaknya sedang giat mengesan suspek dan meminta lelaki itu menyerah diri kepada pihak polis.
“Kita juga menyeru kepada masyarakat yang mempunyai maklumat mengenai suspek dan kejadian ini agar menyalurkannya kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Kata beliau, suspek dan mangsa berusia 35 tahun saling mengenali kerana mereka masing-masing bekerja sebagai ejen hartanah.
“Sejauh mana hubungan mereka kita belum dapat pastikan, namun mereka saling mengenali antara satu sama lain,” ujarnya.
Menurut Syed Basri, kejadian tikam itu berlaku di dalam sebuah kereta jenis Mazda dengan mangsa berada di tempat duduk pemandu, manakala suspek di tempat duduk penumpang hadapan.
“Mangsa mengalami kecederaaan pada bahagian kanan leher dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan. Setakat ini dia dilaporkan dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Katanya, pihaknya masih mengesan senjata atau peralatan yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.
“Kita juga masih menyiasat motif kejadian tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata,” tambahnya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan seorang wanita cedera parah di leher dipercayai akibat ditikam seorang lelaki dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Titi Gajah, Kepala Batas malam ini.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 35 tahun dikatakan ditikam di dalam sebuah kereta di kawasan letak kereta di situ.
Kejadian berlaku ketika orang ramai sedang menjamu selera di restoran tersebut. – KOSMO! ONLINE














