KUANTAN – Hanya beberapa hari belajar sudah mampu menghasilkan produk batik bermutu.
Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Batik di bawah Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) anjuran Kraftangan Malaysia mencipta keajaiban apabila menjadi pentas singkat bagi mentransfomasikan individu biasa kepada usahawan batik.
Melalui program itu, peserta akan diberi latihan oleh tenaga pengajar secara percuma dengan dibekalkan peralatan dan bahan mentah lengkap di Pusat Anyaman Cherating, di sini.
Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang, Juhari Azmi berkata, program PPKK fasa 2 yang terkini pada 13 dan 14 April itu melibatkan 28 peserta, manakala fasa pertama pada Julai tahun lalu melibatkan seramai 30 peserta.
“Menerusi program yang melibatkan golongan asnaf, suri rumah dan juga ibu tunggal ini, peserta akan diberi bimbingan secara percuma bagi menghasilkan batik, pengurusan kewangan serta tunjuk ajar dalam simulasi berniaga.
“PPKK merupakan inisiatif Kraftangan Malaysia yang bertujuan membangun dan mewujudkan komuniti kraf baharu untuk melibatkan diri secara langsung dalam perusahaan kraf bagi menjana pendapatan utama dan sampingan,” katanya di sini baru baru ini.
Tambahnya, program tersebut dilihat signifikan dalam membantu peserta untuk menguasai kemahiran membuat batik, seterusnya menjana pendapatan.
Menurut Juhari, menerusi makmal fasa kedua ini, peserta diberi pendedahan serta kemahiran menyiapkan kain batik berukuran 2.5 meter menggunakan blok batik dua lapisan.
Motif batik yang digunakan adalah motif tempatan iaitu Bunga Kopi dan Pasu Terenang.
Katanya, peserta akan turut terlibat dengan menjual produk batik dalam Festival Kraf Pantai Timur (FKPT) 2026 yang bermula pada 24 April hingga 4 Mei ini, di pusat beli-belah East Coast Mall di sini.
Dalam festival tahunan itu, Kraftangan Malaysia menyasarkan nilai jualan sebanyak RM3.2 juta berbanding RM3.1 juta yang direkod kan tahun lalu.
Seramai 98 usahawan kraftangan dari tiga negeri iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan terlibat dalam festival berkenaan yang dijangka merekodkan kira-kira 120,000 pengunjung.
Sementara itu, salah seorang peserta, Zairulmurni Mat Daud, 39, berkata, dia tidak menyangka mampu menghasilkan batik buat pertama kali walaupun tidak mempunyai bakat seni selama ini.
Suri rumah yang berasal dari Kampung Sungai Baging, di sini itu, mengikuti kursus berkenaan kerana amat meminati kraf batik dan berhasrat untuk terus belajar serta melibatkan diri secara serius dalam industri.
“Saya bersyukur kerana telah dapat menjual produk batik, malah turut mendapat tempahan batik,” katanya.
Seorang lagi suri rumah, Rokiah Dollah, 46, berkata, penyertaannya dalam program itu amat bermakna kerana mampu memberikan saluran pendapatan baharu buat keluarga yang sebelum ini hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sendiri.














