fbpx
FILEM komedi arahan Bobby Husaini menghimpunkan ramai bintang handalan tanah air, sekali gus meletakkan harapan tinggi bahawa naskhah berkenaan harus menjadi karya wajib tonton khalayak, terutama peminat filem komedi 'gaya' Mamat Khalid sebelum ini.– AFIQ RAZALI

‘Tengok Libang Libu teringatkan Mamat Khalid’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUKAN mudah menyatukan deretan nama besar yang antaranya bergelar pelakon papan atas dalam sebuah naskhah.

Namun, pengarah Bobby Husaini berjaya merealisasikannya sekali gus membuktikan kredibilitinya menerusi filem terbaharu berjudul Libang Libu.

Mana tidaknya, naskhah komedi tersebut dibintangi pelakon berkarakter yang sering menjadi rebutan pengarah tersohor, termasuklah pemenang trofi pelakon terbaik seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Amerul Affendi.

Kehadiran nama-nama hebat itu secara tidak langsung meletakkan satu tanda aras yang tinggi terhadap kualiti lakonan bakal disajikan kepada penonton.

Bobby menyifatkan Libang Libu sebagai satu platform menghidupkan semula budaya menonton yang santai, namun tetap bermakna buat masyarakat Malaysia.

“Apa yang membezakan Libang Libu dengan karya lain adalah keupayaan menghidupkan semula pengalaman menonton yang santai tetapi bermakna, iaitu gelak tawa bersama di panggung, dalam ‘mood’ yang rileks dikelilingi keluarga dan teman rapat.

“Filem ini bukan tentang mesej berat, tetapi tentang momen yang dikongsi. Dengan pendekatan santai dan penuh drama, Libang Libu membawa kembali jenis hiburan yang sudah lama dirindui penonton Malaysia, hiburan yang mengajak mereka datang untuk ketawa,” katanya kepada HibGlam.

Mengulas lanjut pengalaman mengendalikan barisan pelakon ternama tanah air, Bobby berkata, proses penggambaran berjalan lancar tanpa sebarang drama di sebalik tabir.

“Sebenarnya tidak susah langsung nak kawal semua pelakon sebab mereka sangat profesional.

“Sebab itulah saya ajak mereka, bukan wajah-wajah baharu. Apa yang saya boleh katakan, semua pelakon filem ini buat ‘homework’ sebelum masuk set.

“Nabila Huda misalnya, kita dah berbincang nak ‘look’ macam mana dan pakai apa dalam filem, Beto pula dah bangunkan karakter sendiri, tinggal nak sampaikan sahaja,” jelasnya lagi.

Bobby turut mengakui meletakkan pelakon berkarakter serius seperti Beto ke dalam naskhah komedi adalah satu cabaran yang menyeronokkan.

“Saya percaya ini satu cabaran sebab kita perlu cuba menyajikan kelainan. Maksud saya, kita jarang lihat Beto dengan karakter sebegini.

“Bila dapat dia jadi seronok. Kita memang ada ramai pelakon komedi, tapi bagi saya kehadiran pelakon seperti Beto yang keluar daripada zon selesa dilihat sangat tepat pada waktunya. Kita dapat berikan satu benda baharu,” tuturnya lagi.

Penghargaan buat Mamat Khalid

Sekilas pandang, menyaksikan Libang Libu sebenarnya ada ketika pengalaman tersebut mengingatkan khalayak terhadap karya-karya sentuhan pengarah legenda,  Allahyarham Mamat Khalid, ada kedekatan dan persamaan, terutama menerusi penggunaan loghat Perak dan latar belakang suasana kampung.

Tidak menafikan pandangan yang diutarakan, Bobby dengan rendah hati menyifatkan persamaan tersebut sebagai satu bentuk penghormatan atau ‘homage’ buat idolanya itu.

“Mengenai rujukan yang sering dikaitkan dengan karya arwah Mamat Khalid, saya memang sangat meminati naskhah-naskhah sentuhannya. Jika ada sebarang persamaan, itu merupakan satu bentuk penghargaan saya buat Allahyarham.

“Apabila kita menggunakan lokasi di Perak dengan dialek tempatan dan watak-watak sebegitu, sesiapa sahaja yang melakukannya pasti akan dikaitkan dengan gaya Abang Mamat.

“Dia merupakan individu yang memulakan dan mempopularkan elemen tersebut. Namun seperti saya katakan, jika ada persamaan, ini adalah penghargaan kerana kami semua sangat mengagumi hasil kerjanya,” ujarnya.

Di sebalik tawa yang disajikan, Bobby tidak melepaskan peluang menyelitkan isu realiti masyarakat yang sering dianggap tabu dan cuba dielakkan ramai.
Bobby mengetengahkan konflik adik-beradik yang tercetus kerana wang, perebutan harta pusaka dan tabiat buruk judi dalam talian.

“Saya percaya hubungan antara sahabat mahupun adik-beradik adalah sesuatu yang dekat dengan hati semua orang.

“Jika ditanya tentang inspirasi, sebenarnya datang daripada realiti di sekeliling kita. Selalunya, punca utama perbalahan adik-beradik melibatkan wang, kepercayaan, mahupun perebutan harta pusaka.

“Isu wang ini pula selalunya berpunca daripada tabiat buruk seperti judi. Macam orang putih cakap ‘pink elephant in the room that no one wants to talk about’ (masalah besar tetapi semua orang sengaja buat-buat tak nampak).

“Budaya ini sebenarnya menjadi punca kepada banyak masalah. Namun, apa yang paling penting adalah intipati ceritanya,” tutupnya.

Dibintangi barisan pelakon seperti Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Zahiril Adzim, Ozlynn Wati, Fikry Ibrahim, Sabri Yunus, Khir Rahman, Azhan Rani, Razak Ahmad dan ramai lagi, Libang Libu turut diserikan dengan penampilan khas Datuk Yusof Haslam, Bront Palarae dan Nadiya Nisaa. Naskhah terbitan Tangerine Films Sdn. Bhd. tersebut bakal menggegarkan pawagam bermula 23 April ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN