fbpx
Beberapa gambar dikongsikan pengguna media sosial memaparkan kawasan perumahan Desa Bertam yang bertukar kecoh akibat kejadian pecah masuk rumah.

[VIDEO] Penduduk Desa Bertam resah, kes pecah masuk makin kerap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kejadian pecah masuk rumah dikatakan semakin kerap berlaku di kawasan Desa Bertam, Melaka sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Menerusi hantaran tular di Thread, seorang penduduk dikenali sebagai @AfiqahShafiqah, mendakwa rumah keluarganya yang terletak di kawasan berkenaan hampir menjadi sasaran penceroboh ketika mereka baru pulang ke rumah pada lewat malam.

Menurutnya, kejadian berlaku selepas ahli keluarganya pulang sekitar pukul 12 tengah malam sebelum seorang adiknya masuk ke dalam rumah untuk mengambil barang di bilik.

“Tiba-tiba dia dengar bunyi kaca pecah. Mak aku memang ada letak gelas dekat tombol pintu. Kalau gelas tu jatuh atau pecah… maksudnya ada orang cuba buka pintu.

“Masa tu memang sah, ada orang dekat luar. Adik aku terus panik. Tak fikir panjang, terus lari keluar rumah balik,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Dia turut mendakwa bukan hanya satu rumah menjadi sasaran, sebaliknya beberapa kediaman lain di kawasan sama juga pernah mengalami kejadian seumpamanya dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

“Kawasan ni bukanlah kawasan orang kaya pun. Kawasan biasa je. Ni aku muat naik sekali video jiran lain yang kena juga… dalam 2 minggu lepas. Memang jadi dekat-dekat je.

“Ini pula jadi 4 April haritu. Rumah jiran lain pula yang kena. Bukan satu kes je… memang dah banyak jadi dekat kawasan sini. Jadi siapa-siapa yang duduk Desa Bertam, Melaka, tolonglah hati-hati. Sekarang pun jujur aku tak tahu dah nak buat macam mana… rasa tak selamat tu memang ada,” tambahnya.

Seorang lagi pengguna turut mendakwa taman perumahannya yang terletak bersebelahan kawasan itu juga berkemungkinan berdepan situasi membimbangkan.

“Sekarang dah tiap minggu ada kes. Risau betul dah taman bersebelahan. Baiklah jumpa hantu daripada jumpa manusia,” tulisnya.

Dalam perkongsian tersebut turut disertakan gambar suasana orang ramai berkumpul di lokasi kejadian pada waktu malam, dipercayai selepas insiden berkenaan.

Orang ramai di ruangan komen menggesa pihak berkuasa agar membuat pemantauan berkala bagi memastikan keselamatan penduduk kekal terjamin.

“Ya betul, kawasan Desa Bertam ni satu malam tiga kes. Masalahnya dia buat kerja laju. Kita pula yang rasa tak selamat,” komen NorAmy.

“Pencuri tak kena tangkap lagi. Harap pihak berkuasa bertindaklah segera kalau tak lebih banyak rumah lagi akan terkena,” komen Norakilah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN