MELAKA – Tindakan meletakkan gelas kaca di tombol pintu sebagai ‘penggera keselamatan’ membawa kepada salah faham apabila sebuah keluarga di Taman Desa Bertam di sini menyangka rumah mereka dimasuki pencuri awal pagi tadi.
Kejadian tersebut turut tular di media sosial menerusi klip rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kediaman itu yang memaparkan ahli keluarga berkenaan dalam keadaan panik dan berlari keluar rumah kerana menyangka berlaku kejadian pecah masuk.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Christopher Patit berkata, hasil siasatan polis di lokasi bagaimanapun tidak menjumpai sebarang petunjuk berlaku kejadian jenayah.
Katanya, kejadian gelas kaca yang diletakkan di tombol pintu rumah berkenaan pecah sebaliknya dipercayai berpunca daripada bunyi enjin kenderaan jiran yang kuat sehingga mencetuskan gegaran kecil.
“Pengadu yang bertugas di Pusat Kawalan Daerah menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan rumah jirannya dipercayai dimasuki pencuri sebelum laporan dibuat sebagai maklumat pertama.
“Pemeriksaan di lokasi mendapati rumah jenis separa berkembar dua tingkat itu dilengkapi CCTV di bahagian luar, namun tiada sebarang bukti menunjukkan berlaku pencerobohan,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, keluarga berkenaan telah keluar dari kediaman kira-kira pukul 9 malam dan meletakkan gelas kaca di tombol pintu dapur sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kejadian pecah masuk.
“Sebaik pulang kira-kira pukul 12.30 tengah malam, mereka terdengar bunyi kaca pecah lalu bertindak keluar semula kerana mengesyaki ada individu di dalam rumah dan meminta bantuan jiran untuk menghubungi polis.
“Pemeriksaan polis bagaimanapun tidak menjumpai sebarang kesan umpil pada pintu atau tingkap, manakala keadaan dalam rumah juga tidak menunjukkan tanda-tanda digeledah,” katanya.
Tambahnya lagi, rakaman CCTV yang disangka menunjukkan pergerakan individu mencurigakan sebenarnya adalah jiran di kawasan berhampiran.
Christopher berkata, sehubungan itu, kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dan tiada sebarang suspek dikenal pasti. – KOSMO! ONLINE














