PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan di Semenanjung serta Sarawak hingga pukul 7 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, kawasan yang terlibat di Semenanjung adalah Kedah (Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan).
Turut terjejas adalah Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Terengganu (Dungun dan Kemaman) dan Pahang (Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin).
Selain itu, keadaan sama juga tertumpu sekitar Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Hulu Langat), Kuala Lumpur, Negeri Sembilan (Jelebu, Jempol dan Tampin), Melaka (Jasin) dan Johor.
“Di Sarawak, cuaca buruk dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Sarikei (Sarikei, Julau dan Meradong), Sibu (Sibu dan Kanowit), Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Matu) dan Kapit (Song),” lapor MetMalaysia.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














