PETALING JAYA – Seorang lagi individu disiasat kerana menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan bahan api diesel kepada Filipina.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya telah membuka kertas siasatan terhadap individu berkenaan susulan penyebaran maklumat tidak sahih di platform digital.
Menurutnya, hasil semakan mendapati bahan api diesel yang didakwa itu sebenarnya adalah milik syarikat perdagangan antarabangsa Vitol dan bukannya milik Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau kerajaan.
“Individu tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan pada hari Jumaat (semalam),” katanya hari ini.
Tambah MCMC, pihaknya turut menyita peranti komunikasi yang digunakan untuk memuat naik kandungan berkenaan sebagai sebahagian daripada proses siasatan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” ujarnya.
MCMC menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial bagi menyebarkan maklumat tidak tepat yang boleh mengelirukan orang ramai.
“Tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Rabu lalu, Kosmo! melaporkan, MCMC merakam keterangan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berhubung dakwaan pembekalan kira-kira 329,000 tong bahan api diesel kepada Filipina. – KOSMO! ONLINE














