fbpx
Alexander menyampaikan sijil pentauliahan EKSA kepada Pengarah CIDB Johor, Rozaiman Hassan pada majlis Perhimpunan Bulanan KKR di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid KKR hari ini. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI/KOSMO!

Pembayaran tol digital: 400,000 transaksi direkod sejak Januari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sistem pembayaran tol digital berasaskan pengecaman nombor plat automatik (ANPR) terus menunjukkan perkembangan positif apabila sebanyak 400,000 transaksi direkodkan sejak Januari lalu menerusi aplikasi JustGo Malaysia.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, angka itu mencerminkan jumlah kenderaan yang melalui lorong tol dengan bayaran diproses secara automatik tanpa henti.

Menurutnya, pelaksanaan sistem ANPR kini melibatkan sembilan plaza tol di seluruh negara dengan sebanyak 578 lorong telah dilengkapi teknologi berkenaan.

“Perkembangan tersebut menunjukkan sistem berkenaan sedang beroperasi dengan baik dan lancar tanpa sebarang isu teknikal besar setakat ini,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Bulanan KKR di sini, hari ini.

Tambah beliau, seramai 28,000 pengguna telah berdaftar menggunakan aplikasi JustGo Malaysia yang dibangunkan oleh PLUS Malaysia Berhad bersama rakan konsesi lain.

Katanya, peningkatan jumlah transaksi itu turut mencerminkan tahap penerimaan pengguna yang semakin baik terhadap sistem pembayaran tol digital yang diperkenalkan secara berperingkat.

“Data yang dikumpulkan melalui sistem ini akan membantu kerajaan menilai prestasi serta mempercepatkan proses membuat keputusan berkaitan pelaksanaan ANPR dan peralihan ke arah sistem Multi-Lane Free Flow (MLFF),” ujarnya.

Menurut beliau, kerajaan menyasarkan pelaksanaan penuh sistem MLFF di seluruh negara menjelang tahun hadapan.

“Peluasan sistem ini akan dilaksanakan secara berperingkat oleh pihak konsesi bersama kerajaan bagi memastikan kelancaran di semua lebuh raya utama,” katanya.

Pada 18 Februari lalu, aplikasi JustGO Malaysia merekodkan hampir 200,000 muat turun selepas pelancaran rasmi sistem ANPR pada 12 Februari lalu.

JustGO Malaysia berkata, kaunter pengaktifan JustGO telah disediakan di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan
Kedah, termasuk di kawasan Rehat dan Rawat Gurun dan Hentian Sebelah Juru, bagi membantu pengguna membuat pendaftaran serta mendapatkan maklumat lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN