PETALING JAYA – Empat beradik dari Gombak dekat sini sering menjadi tumpuan ramai kerana kesemua mereka memiliki nama yang unik berinspirasikan jenama kereta mewah, fenomena alam dan ikon sukan terkenal dunia.
Anak ketiga daripada empat beradik itu, Hajarr Ferarie Mohd Zaki, 20, berkata, dia bersama tiga adik-beradiknya iaitu M’Glazzia Zidannial, 25, Shayenn Qistina, 22, dan Emell Lebronz, 19, masing-masing diberi nama luar biasa hasil idea kreatif bapa mereka.
Pelajar Universiti Teknologi Mara kampus Alor Gajah di Melaka itu berkata, bapa mereka seorang yang bercitarasa tinggi, gemarkan keunikan dan mengikuti trend semasa termasuklah dalam urusan dalam pemilihan nama anak.
“Bapa kami juga sentiasa mengikuti trend global dan gemar perkara yang kelihatan menarik serta moden.
“Dia pernah menjadi seorang rocker, jadi tidak hairanlah citarasanya cenderung kepada gaya yang trendy,” katanya.
Mengulas lanjut, Hajarr Ferarie berkata, setiap nama mempunyai maksud tersendiri, yang mana nama abang sulungnya, M’Glazzia Zidannial diambil daripada perkataan glacier dan legenda bola sepak, Zinedine Zidane.
“Shayenn pula diinspirasikan daripada Porsche Cayenne yang ‘diMelayukan’, manakala nama saya Ferarie daripada Ferrari.
“Adik saya Emell pula daripada e-mel dan Lebronz daripada pemain bola keranjang terkenal, LeBron James,” jelasnya.
Berkongsi pengalaman, Hajarr mengakui reaksi orang ramai kebiasaannya terkejut selain ada yang menganggap nama tersebut lucu.
Malah, dia hampir berdepan masalah dokumen ketika kecil apabila berlaku kekeliruan jantina dalam MyKid dengan namanya hampir diletakkan ‘bin’, walaupun dirinya perempuan.
“Dari sekolah rendah sampai sekarang, memang selalu jadi perhatian. Bila cikgu atau pensyarah panggil nama, semua mata akan pandang.
“Situasi itu kadang kala memalukan, namun ada ketika melucukan,” katanya.
Hajarr Ferarie berkata, perasaan terhadap nama unik itu berubah mengikut peringkat usia.
Dia menjelaskan, nama unik tersebut turut memberi kesan dalam kehidupan seharian, baik dari sudut positif mahupun negatif.
“Positifnya, orang mudah ingat saya dan selalu ingin tahu cerita di sebalik nama. Tapi negatifnya, ramai yang susah nak sebut dan kadang-kadang tersalah eja dalam urusan rasmi.
“Masa kecil pernah hendak tukar nama kerana mahu ada nama normal saja,” ujarnya.















