DI Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Sungai Long, Kajang, Selangor menjadi rutin buat sekumpulan pelajar yang mengikuti Program Sarjana Muda Kewartawanan
Media Cina akan membawa kamera dan perakam suara sambil bergerak di sekitar kampus untuk merakam pelbagai kisah kehidupan universiti.
Kumpulan pelajar ini merupakan ahli portal berita kampus U-Click, sebuah platform media pelajar yang menjadi ruang latihan kewartawanan sebenar bagi mahasiswa.
Bagi mereka, kewartawanan bukan sekadar teori di dalam bilik kuliah tetapi satu proses pembelajaran yang melibatkan pemerhatian, komunikasi, ekspresi dan perkembangan diri.
Di U-Click, setiap sesi temu bual merupakan pengalaman baharu, setiap artikel adalah percubaan dan setiap video menjadi satu cabaran.
Melalui pengalaman inilah para pelajar berkembang daripada wartawan baharu kepada individu yang mampu menjalankan tugasan secara berdikari.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang sudah mampu memimpin pelajar junior dalam menjalankan liputan, daripada perancangan liputan, pelaksanaan temu bual, penggambaran sehingga proses penyuntingan.
Setiap langkah memberi mereka pengalaman langsung dalam dunia kewartawanan sebenar.
Menariknya, semua ahli U-Click menyertai platform ini secara sukarela.
Tugasan yang dijalankan bukan sebahagian daripada kerja kursus dan tidak memberikan markah tambahan.
Namun begitu, minat yang mendalam terhadap kewartawanan serta sifat aktif para pelajar mendorong mereka untuk terus terlibat dalam pelbagai liputan bagi menimba pengalaman dan meningkatkan kemahiran.
Tugasan yang mereka jalankan juga pelbagai, adakalanya mereka membuat liputan aktiviti kampus, menghasilkan laporan khas melalui temu bual jalanan atau menghasilkan berita video.
Setiap tugasan memberikan mereka kemahiran baharu yang sukar diperoleh hanya melalui pembelajaran teori di kelas.
Malah, struktur organisasi U-Click juga menyerupai organisasi media profesional, lengkap dengan jawatan seperti Ketua Editor, Timbalan Ketua Editor, Editor Berita dan Ketua Wartawan.
Ditubuhkan pada tahun 2016, U-Click bukan sekadar platform latihan kewartawanan, malah menjadi ruang penting bagi pelajar meneroka potensi diri, meningkatkan kemahiran dan membina keyakinan.
Salah seorang ahli yang juga pelajar tahun dua, Lim Yan Ni, 22, berkata, minatnya terhadap kewartawanan sebenarnya bermula sejak di bangku sekolah menengah apabila dia menyertai pasukan wartawan pelajar sekolah.
Menurutnya, pengalaman pertama menjalankan temu bual dan menulis laporan ketika itu telah menimbulkan rasa ingin tahu yang mendalam terhadap dunia kewartawanan.
“Oleh itu, apabila melanjutkan pengajian di universiti, saya memilih untuk menyertai dua platform media pelajar iaitu stesen radio kampus JCS FM dan portal berita kampus U-Click bagi meneruskan minat tersebut.
“Selepas menyertai U-Click, saya terlibat terutama dalam tugasan temu bual dan penulisan berita, selain turut membantu dalam penggambaran serta penyuntingan video,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi ahli Bryan Tan Chee Hau, 23, mengakui dirinya seorang yang agak pendiam sejak kecil.
Namun, minat terhadap berita banyak dipengaruhi oleh ahli keluarga yang gemar mengikuti perkembangan semasa.
Walaupun tidak aktif dalam aktiviti kokurikulum sebelum ini, dia memilih untuk menyertai U-Click ketika di universiti sebagai cara menambah pengalaman praktikal.
“Jika hanya belajar teori kewartawanan di kelas tanpa pengalaman praktikal, resume kita akan kelihatan agak kosong.

“Melalui penyertaan saya dalam U-Click, saya berpeluang merasai sendiri suasana kerja seorang wartawan sebenar, daripada membuat liputan aktiviti sehinggalah menemu bual tokoh penting,” ujarnya.
Antara pengalaman paling diingatinya ialah peluang menemu bual bekas Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang kini merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Tambahnya, kelebihan utama U-Click adalah memberi peluang kepada pelajar untuk merasai persekitaran kewartawanan sebenar, termasuk pembahagian tugas dalam pasukan, proses temu bual di lapangan, pengumpulan maklumat serta penulisan berita.
Bryan menambah bahawa pengalaman tersebut membuatkannya lebih berani
Seorang lagi ahli U-Click, Gan Teng Kang, 26, turut berkongsi pengalaman peribadi yang menunjukkan bagaimana latihan kewartawanan boleh mengubah personaliti seseorang.
Pada awalnya, dia agak ragu-ragu untuk menyertai U-Click kerana bimbang kemampuannya tidak mencukupi dan takut membebankan pasukan.
“Namun, selepas menerima galakan daripada rakan dan jemputan Ketua Editor, saya akhirnya membuat keputusan untuk mencuba.
“Saya dahulu sangat pemalu, berdepan dengan orang yang tidak dikenali pun sudah membuatkan saya sukar bercakap,” katanya.
Namun, demi menyiapkan tugasan temu bual, dia memaksa dirinya melangkah keluar dari zon selesa.
Lama-kelamaan, dia menyedari bahawa temu bual bukan sekadar bertanya soalan,tetapi lebih kepada proses mendengar dan memahami.
“Jika hanya membaca soalan satu per satu, temu bual akan menjadi sangat membosankan. Yang penting ialah bertanya soalan lanjutan berdasarkan jawapan responden,” katanya.
Sementara itu, Ketua Editor U-Click, Leong Jie Hui, 22, memulakan penglibatannya sebagai ahli kumpulan multimedia yang bertanggungjawab menghasilkan temu bual video serta penyuntingan visual.
Selepas mengumpul pengalaman selama setahun, beliau dilantik sebagai Ketua Editor pada tahun kedua pengajiannya oleh pensyarah penasihat bagi memimpin pasukan baharu meneruskan operasi portal berita tersebut.
Jie Hui mengakui cabaran terbesar bukanlah menghasilkan berita tetapi mengurus pasukan wartawan pelajar yang masing-masing perlu menyeimbangkan antara akademik dan aktiviti kewartawanan.
“Setiap perkara menarik yang berlaku di kampus sebenarnya boleh menjadi bahan berita.
“Namun, dengan tenaga kerja yang terhad, memastikan operasi portal berjalan lancar dan berita dapat diterbitkan tepat pada masanya merupakan tanggungjawab utama setiap Ketua Editor,” jelasnya.
Walaupun cabarannya tidak kecil, dia percaya pengalaman di U-Click memberikan asas yang kukuh sebelum memasuki dunia kewartawanan sebenar.
Melalui platform ini, mereka mempelajari cara menulis berita yang lengkap, menjalankan temu bual serta menghasilkan video berita.
Dalam era media digital yang semakin berkembang, Jie Hui berpendapat bahawa U-Click merupakan platform praktikal paling penting di luar bilik kuliah bagi pelajar kewartawanan untuk membina kemahiran penulisan, temu bual dan produksi multimedia.














