SENTUHAN dekorasi berkonsep tradisional kontemporari di Airbnb Rumah Uda di Langkawi, Kedah memancarkan suasana hangat dan menenangkan.
Hal ini terserlah apabila struktur kayu mendominasi segenap ruang sekali gus memberikan aura rumah kampung klasik yang cukup memikat, namun diperkemas dengan pencahayaan moden yang tersembunyi di celahan siling.
Dalam masa yang sama, kabinet kayu dan kemasan jubin bercorak moden menampilkan kontras menarik antara tradisi dengan gaya semasa.
Tidak ketinggalan, elemen hijau daripada tumbuhan hiasan menyuntik kesegaran sekali gus melengkapkan keseluruhan suasana yang damai dan mengundang tetamu datang.
Menurut pemilik homestay di bawah jenama Ara Veritas Sdn. Bhd. itu, Mohd. Azmir Bakar, konsep yang dipilih ialah Traditional Malay Living with Contemporary Heritage.
“Saya mengekalkan elemen asas seni bina Melayu seperti penggunaan kayu, struktur terbuka, pengudaraan semula jadi dan ruang serambi, tetapi digabungkan dengan keselesaan moden seperti susun atur praktikal, pencahayaan lembut dan kemudahan terkini.
“Saya tertarik konsep ini kerana bukan sekadar estetika atau tradisional tetapi satu pengalaman apabila tetamu boleh benar-benar ‘hidup’ dalam suasana kampung tanpa mengorbankan keselesaan,” katanya kepada CitaRasa.
Untuk pengetahuan, Rumah Uda merupakan salah satu unit di bawah koleksi Rumah Bendang Langkawi.
Vila ini mengetengahkan konsep rumah tradisional Melayu yang dipadankan dengan sentuhan moden, lengkap dengan kemudahan kolam renang peribadi serta pemandangan bendang dan Gunung Raya yang mempesona.

Rumah tersebut dibina di atas tanah seluas kira-kira 0.4 hektar yang dikongsi bersama keseluruhan kompaun Rumah Bendang.
Kayu yang digunakan ialah kayu yang dibuka semula daripada rumah lama di Kampung Tok Senik, Langkawi.
Dari segi keluasan binaan, Rumah Uda dianggarkan antara 800 hingga 1,000 kaki persegi (74 hingga 93 meter persegi) merangkumi ruang dalaman serta serambi terbuka.
Kongsi Mohd. Azmir, inspirasi utama datang daripada rumah-rumah kampung lama di Kedah atau Langkawi sendiri termasuk rumah tradisional yang hampir pupus ditelan zaman.
Selain itu, rujukan daripada pengalaman peribadi serta kecintaan terhadap seni bina tradisional Melayu lama turut menjadi pengaruh.
“Bagi saya, Rumah Uda bukan sekadar projek penginapan tetapi satu usaha untuk menghidupkan semula nilai seni bina Melayu dalam konteks hari ini.
“Saya percaya budaya tidak sepatutnya hanya dipamerkan tetapi perlu didiami. Ia juga memperkenalkan kepada pelancong tempatan dan luar tentang keunikan serta keselesaan seni bina Melayu.
“Jadi, setiap ruang di Rumah Uda direka supaya tetamu boleh merasai sendiri suasana kampung, daripada bunyi unggas pada waktu pagi, angin bendang, hingga kepada interaksi ruang yang terbuka,” katanya.

Secara keseluruhan, kos pembinaan dan hiasan dalaman dianggarkan pada tahap sederhana tinggi iaitu sekitar RM300,000 hingga RM400,000.
Anggaran ini dipengaruhi oleh penggunaan kayu terpakai berkualiti serta hasil kerja tangan yang memerlukan kepakaran khusus.
Tempoh pembinaan dan menyiapkannya pula mengambil masa antara lapan hingga sembilan bulan bergantung proses mendapatkan bahan, kemahiran tukang tradisional serta penyesuaian reka bentuk yang dilakukan sepanjang pembinaan.
“Apabila tetamu memilih untuk menginap di rumah warisan, mereka secara tidak langsung menyokong kelangsungan kemahiran yang berisiko untuk lenyap termasuk pertukangan tradisional, ukiran tangan dan amalan masakan Melayu.
“Ini membantu mengukuhkan penglibatan yang bermakna dalam pelancongan,” katanya.















