LUMUT – Keputusan untuk tidak mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat yang diumumkan Perdana Menteri semalam membolehkan kerajaan fokus untuk membantu rakyat yang terkesan akibat konflik Asia Barat.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ketika ini negara sedang berhadapan dengan krisis yang besar disebabkan konflik tersebut dan sewajarnya semua pihak tidak memikirkan soal perebutan soal kuasa dan kedudukan.
Katanya, sebaliknya lebih baik kerajaan fokus kepada soal bagaimana hendak membantu rakyat yang berhadapan dengan kos sara hidup yang pasti akan lebih meruncing kerana faktor harga minyak yang tidak dapat dikawal.
“Apa yang disarankan oleh Perdana Menteri semalam merupakan nilai tanggungjawab yang tinggi kepada soal keprihatinan terhadap apa yang dihadapi oleh rakyat ketika ini.
“Bagi Barisan Nasional (BN) kita fokus kepada apa yang terbaik dalam konteks rakyat hari ini. Ketika ini rakyat sedang berhadapan dengan krisis, jadi lebih baik kita tumpu soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Serentak Persidangan UMNO Cawangan-Cawangan Lumut di sini hari ini.
Berucap dalam Program Madani Rakyat 2026 Perak di sini semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan pilihan raya tidak akan diadakan dalam masa terdekat ekoran krisis perang di Asia Barat dan situasi kegawatan minyak yang melanda dunia sekarang.
Sebelum ini timbul desas-desus Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) akan diadakan dalam tahun ini kerana melihatkan keadaan parti pembangkang yang berpecah-belah selain petanda ekonomi Malaysia yang positif.
Sementara itu mengenai Mesyuarat Cawangan-cawangan UMNO seluruh negara bermula 1 April lalu, Asyraf melihat trend yang sangat positif dengan kehadiran ahli yang memberangsangkan terutama dalam kalangan anak muda.
“Saya rasa amat teruja dan berharap momentum ini akan teruskan dan kembangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














