fbpx
KONFLIK di Asia Barat mencetuskan kenaikan harga bahan api terutama diesel.

Ubah kerajaan bukan ‘suis ajaib’ turunkan harga minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CADANGAN menukar kerajaan semata-mata untuk menurunkan harga minyak dunia bukan sahaja dangkal, malah menunjukkan kegagalan memahami realiti ekonomi global yang semakin kompleks.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, harga minyak mentah dunia kembali melonjak susulan ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran. Konflik yang berpotensi mengganggu laluan utama bekalan minyak global di Selat Hormuz itu mencetuskan kebimbangan pasaran, sekali gus menolak harga ke paras lebih tinggi.

Namun, ketika situasi memuncak, muncul suara sumbang mendesak kerajaan ditukar kononnya untuk menyelesaikan tekanan kos bahan api. Hakikatnya, cadangan itu bukan sahaja tidak berpijak di bumi nyata, malah boleh dianggap sebagai paling mengarut dalam wacana ekonomi semasa.

Gaya berfikir simplistik ini seolah-olah mengandaikan sesebuah kerajaan mempunyai kuasa mutlak ke atas harga minyak dunia sedangkan harga komoditi itu ditentukan oleh pelbagai faktor antarabangsa termasuk konflik geopolitik.

Menukar kerajaan tidak akan menamatkan perang AS-Iran dan mengawal spekulasi pasaran minyak global yang didorong oleh sentimen pelabur antarabangsa. Menukar kerajaan bukanlah suis ajaib boleh turunkan harga minyak.

Lebih membimbangkan, naratif itu boleh mengelirukan rakyat dan menanam persepsi palsu setiap masalah ekonomi boleh diselesaikan melalui pertukaran kuasa politik.

Realitinya, isu kos sara hidup memerlukan pendekatan menyeluruh termasuk dasar fiskal berhemah, kawalan subsidi bersasar dan kecekapan pengurusan rantaian bekalan.

Dalam suasana rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, wacana awam tidak seharusnya terus disempitkan dengan retorik politik cetek dan emosional. Hakikatnya, ini bukan lagi soal menteri atau parti memerintah, ini soal krisis global yang sedang melanda hampir seluruh dunia.

Pemerhati politik dan media, Zainal Rashid Ahmad sebelum ini mengingatkan rakyat supaya menilai sesuatu isu yang timbul secara rasional agar tidak terperangkap dalam sentimen jangka pendek.

“Jika benar menukar kerajaan adalah solusi, apakah semua negara yang terkesan kenaikan harga minyak juga perlu melakukan perkara sama? Dunia hari ini berdepan krisis yang saling berkait daripada peperangan, sekatan ekonomi sehinggalah kepada ketidaktentuan pasaran.

“Ia bukan isu domestik semata-mata yang boleh diselesaikan dengan pertukaran kuasa politik.

“Jangan semua benda nak dipolitikkan. Ada perkara yang berada di luar kawalan mana-mana kerajaan sekalipun,” katanya.

Kenyataan itu jelas menggambarkan bahawa tidak semua masalah boleh diselesaikan melalui pertukaran tampuk pemerintahan.

Sebaliknya, rakyat perlu dibimbing untuk memahami punca sebenar sesuatu isu yang timbul agar tidak mudah terpengaruh dengan retorik populis.

Dalam konteks kenaikan harga minyak dunia, tumpuan sepatutnya diberikan kepada langkah mitigasi dalam negara seperti memperkukuh jaringan keselamatan sosial dan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Akhirnya, menukar kerajaan mungkin memberi kepuasan emosi kepada sesetengah pihak, tetapi ia bukanlah penyelesaian kepada krisis global yang jauh lebih besar daripada sempadan politik domestik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN